Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih pendapatan pelaburan RM10.63 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2015, meningkat 20.33 peratus berbanding RM8.83 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Bagi tempoh suku pertama 2015, jumlah aset pelaburan KWSP turut meningkat kepada RM663.75 bilion, susulan penerimaan caruman bersih RM5.90 bilion serta pelaburan semula pendapatan pelaburan yang dijana bagi tempoh sama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, dalam kenyataannya semalam, menyifatkan keputusan positif disumbangkan terutama oleh prestasi ekuitinya yang lebih baik.

“Ini turut disokong pertumbuhan ekonomi dunia termasuk harga minyak mentah lebih stabil dan perkembangan positif zon Euro yang turut mendorong segelintir pasaran global mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan.

“Pelaburan luar negara KWSP bagi suku ini menyumbang 44 peratus kepada keseluruhan pendapatan. Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang utama turut meningkatkan pulangan pelaburan luar negara KWSP.

“Ini menunjukkan keberkesanan strategi kepelbagaian kami terutama dalam persekitaran pasaran ekuiti tempatan yang kurang memberangsangkan,” katanya.

Setakat 31 Mac 2015, pelaburan luar negara KWSP sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan aset pelaburannya.

Berteraskan persekitaran kadar faedah rendah, katanya, KWSP mempelbagaikan pelaburannya dalam ekuiti, hartanah dan infrastruktur bagi melindungi simpanan ahli selain menjana kadar pulangan yang disasarkan.

Shahril menjelaskan sepanjang suku kajian, segmen ekuiti menyumbang 43 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP dan muncul penyumbang utama pendapatan pelaburan sebanyak RM6.36 bilion atau 59.87 peratus daripada jumlah pendapatan.

Malah, pendapatan sebanyak 31.44 peratus itu lebih tinggi berbanding RM4.84 bilion diperoleh bagi tempoh sama pada 2014, dengan penyumbang utama adalah portfolio luar negara KWSP yang memanfaatkan kenaikan harga saham di pasaran negara membangun dan maju dalam tempoh suku berkenaan.

Selain itu, pelaburan hartanah dan infrastruktur KWSP turut mencatat peningkatan 43 peratus kepada RM20.93 bilion bagi suku pertama 2015.

Segmen aset itu meraih pendapatan RM251.54 juta bagi suku pertama 2015 dan dijangka mencatatkan pendapatan dividen lebih tinggi bagi suku akan datang, termasuk perolehan keuntungan hasil penjualan hartanah, baru-baru ini.

Mengulas prospek pasaran, Shahril berkata, pertumbuhan global kekal sederhana dengan kepelbagaian prospek berbeza bagi negara dan rantau, khususnya antara negara maju dan membangun.

Malah, katanya, risiko tinggi turut dijangkakan berikutan perubahan kadar faedah AS yang boleh meningkatkan permintaan terhadap dolar serta boleh memberi kesan terhadap aliran kedua-dua mata wang global serta pasaran modal.-Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 8:54 AM