HAZAMA, Stacy dan Ronnie Hyper Act menjadi guru pada Program Ceria Popstar.
HAZAMA, Stacy dan Ronnie Hyper Act menjadi guru pada Program Ceria Popstar.
PESERTA Ceria Popstar Musim Ketiga.
PESERTA Ceria Popstar Musim Ketiga.
Oleh Michelle Gun


Tahun lalu, program realiti kanak-kanak Ceria Popstar menyaksikan peserta dari Kedah, Masya diangkat sebagai juara pertandingan nyanyian itu. Kini, program realiti itu kembali untuk musim ketiga dan lebih menarik, enam daripada 10 peserta dari Sabah iaitu Dayang, 15, Farhana, 10, Pasqa, 11, Weena, 14, Shufaad, 15, dan Zack, 13.

Manakala empat peserta lain, Fikry, 11, (Melaka), Ifwat, 10 ,(Selangor), Adinda, 10, (Perak) dan Vanessa, 15, (Selangor). Penolong Naib Presiden Astro Ceria dan Segmen Remaja, Hadzelynda Khairuddin berkata, musim kali ini menyaksikan penyertaan luar biasa dalam kalangan remaja di Sabah.

“Sambutan tahun ini sungguh menakjubkan dan menyenarai pendek ramai peserta berbakat dalam pelbagai genre di Sabah,” katanya ketika sidang media Ceria Popstar, kelmarin.

Selain Sabah, Hadzelynda berkata, sesi uji bakat turut dijalankan di Selangor, Pulau Pinang dan Johor pada musim cuti sekolah Disember lalu.

“Kebanyakan peserta yang hadir sudah bersedia. Selepas dua musim program ini bersiaran, pastinya menjadi kelebihan kepada peserta yang rata-rata sudah memahami selok-belok kehendak pertandingan ini,” katanya.

Menurutnya, program kali ini turut memperkenalkan barisan juri cilik iaitu bekas peserta Ceria Popstar Musim Kedua, Masya, Iqbal, Errisa dan Kashika serta dua selebriti kanak-kanak, Mia Sara dan Rykarl Iskandar.

“Barisan juri ini akan memberikan kata-kata semangat sebagai motivasi kepada peserta di laman Instagram mereka. Mia Sara dan Rykal pula akan berkongsi pengalaman mereka memulakan kerjaya seni pada usia awal kepada pengikut Instagram.

“Bagaimanapun, komen mereka tidak akan mempengaruhi jumlah permakahan peserta,” jelasya.

Konsert mingguan musim ketiga Ceria Popstar akan mula bersiaran 1 Mei ini, jam 9 malam di Astro Ceria.

Program realiti 13 episod itu menampilkan Johan Raja Lawak, Datuk AC Mizal dan Zizan Razak selaku juri tetap manakala seorang selebriti akan diundang sebagai juri jemputan pada setiap minggu.

Mengekalkan Nabil Ahmad sebagai pengacara musim ini turut menyaksikan penyanyi hebat Stacy, Hazama dan Ronnie Hyperact sebagai penasihat peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:47 AM