JUARA program Realiti Ceria Popstar teruja tewaskan saingan dianggap hebat-hebat belaka.
JUARA program Realiti Ceria Popstar teruja tewaskan saingan dianggap hebat-hebat belaka.
Syanty Octavia Amry


Bagaikan bermimpi apabila dia diangkat sebagai juara program Realiti Ceria Popstar musim ketiga. Dayang Izyan Zawanie, 15, tidak pernah menjangka kemenangan itu apatah lagi persaingan di pentas akhir cukup sengit.

Dayang ketika ditemui berkata, persembahan hebat rakan-rakan membuatkan dia tercabar dan berusaha melakukan yang terbaik.

“Rasa gembira dan tidak percaya apabila menjuarai pertandingan ini. Persembahan Zack dan Fikry tidak kurang hebat.

“Syukur, berkat tunjuk ajar Cikgu Stacy saya berjaya hingga ke tahap ini,” kata anak jati Papar, Sabah itu.

Pemenang kedua, Zack atau nama sebenarnya Zackiddin Zachry, 13, pula akur rezeki tidak berpihak kepadanya, namun berpuas hati apabila sudah berusaha yang terbaik.

“Alhamdulillah. Daripada ribuan peserta saya terpilih mara ke peringkat akhir dan menyandang gelaran naib juara.

“Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Sudah tertulis rezeki masing-masing dan saya tetap gembira meksipun hanya mendapat nombor dua.

“Paling penting, ada peningkatan dalam diri. Daripada sekadar menyanyi di pusat karaoke kini saya sudah punya single sendiri.

“Insya-Allah selepas ini saya akan sibuk dengan pelbagai persembahan dan mungkin berlakon,” katanya yang pernah menyertai program realiti di RTM.

Dayang membawa pulang RM20,000 dan trofi, Zack RM15,000 dan trofi manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM10,000 dan RM5,000.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah Terbaik Bagimu, Diam Diam, Nur Nilam Sari, Cik Adik Cik Abang, Potret dan Takkan Terpadam.

Mengulas kejayaan anak didiknya, Stacy berkata dia tidak menjangkakan kemenangan Dayang. Ini kerana Dayang mudah berputus asa berbanding peserta lain.

“Saya tumpang gembira dengan kejayaan Dayang. Ia cukup mengejutkan kerana selama ini dia nampak seperti mudah berputus asa.

“Bukan kerana Dayang malas, tetapi mungkin dia melihat saingannya hebat belaka.

“Selepas mendengar nasihat saya, Dayang ba­nyak berubah dan berusaha membaiki mutu persembahan hingga berjaya mara ke final. Saya kagum dengan bakat dan semangatnya,” kata Stacy.

Ceria Popstar 3 disiarkan secara rakaman selama enam minggu, dengan malam kemuncak dipancarkan secara langsung dari studio 1 Astro, Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Di bawah naungan Datuk Aznil Nawawi, program ini dihoskan oleh Nabil Ahmad manakala juri tetap terdiri daripada Datuk AC Mizal, Johan Raja Lawak dan Zizan Razak serta Ziana Zain sebagai juri jemputan.

Pada malam akhir itu, persembahan turut diserikan dengan kehadiran artis antaranya Firman AF2014, Mojo, Aweera, Fiq dan Black.

Peserta Ceria Popstar dibimbing artis terkenal tanah air iaitu Stacy, Hazama dan Ronnie.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 12:05 PM