Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jaguh keirin negara Azizulhasni Awang (gambar) dianggap calon terbaik membawa pulang pingat emas pertama Malaysia di Olimpik Rio.

Itu pandangan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad selepas kejayaan Azizul meraih gangsa di Kejohanan Trek Dunia, minggu lalu.

Katanya, The Pocketrocket Man dilihat sudah kembali kepada prestasi sebelum insiden tertusuk serpihan kayu trek di Manchester pada 2011.

“Kami sangat senang hati dengan prestasi semasa Azizul. Apabila melihat caranya berlumba dalam repechage saya nampak dan terasa kekuatannya sebelum insiden itu sudah kembali,” katanya yang juga bekas pengurus skuad trek di Olimpik Beijing dan London.

Jaguh negara itu mempamerkan kayuhan bertenaga apabila mengatasi seorang demi seorang pelumba di hadapan ketika saingan berbaki satu pusingan untuk memenanginya dan menempah tiket ke pusingan kedua.

“Malah peningkatan dipamerkan dari satu ke satu kejohanan menjadikan dia calon terbaik membawa pulang emas pertama Malaysia.

“Walaupun hajat kita tinggi, saya percaya dia mampu memikulnya kerana sudah berpengalaman dalam dua Olimpik sebelum ini.

“Saya bukan mahu memberi tekanan kepada dirinya namun jika dilihat prestasi di London minggu lalu, ciri kehebatan yang melonjakkan dia sebagai The Pocketrocket Man sudah kembali,” jelasnya Naim.

Azizul dan Fatehah Mustapa mengesahkan tiket ke Olimpik Rio selepas berakhirnya kejohanan di London yang juga medan terakhir mengumpul mata ke Rio.

Dua pelumba kendalian jurulatih John Beasley berkenaan akan mengadakan persiapan akhir di Lisbon, Portugal selama enam minggu sebelum ke Rio.

Lokasi itu dipilih kerana cuaca yang hampir sama di Rio selain jarak lebih dekat dengan penerbangan terus dalam tempoh 10 jam saja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 8:33 AM