Reuters

Jakarta: Tentera Indonesia melancarkan operasi antikeganasan di Sulawesi untuk menggempur golongan militan disyaki mempunyai kaitan dengan Negara Islam (IS).

Ketua tentera, Jeneral Moeldoko berkata, pihaknya membantu polis mengesan golongan pelampau seterusnya menunjukkan kebimbangan kerajaan terhadap rakyat Indonesia yang mengikrar kesetiaan terhadap IS dan pulang ke republik itu selepas menjalani latihan di Syria atau Iraq.

“Tentera tidak akan memberi ruang untuk IS berkembang atau hidup di Indonesia,” katanya.

Operasi dilancarkan pada 31 Mac dan berakhir baru-baru ini.

Ia operasi antikeganasan tentera besar-besaran pertama Indonesia sejak pengeboman hotel di Jakarta pada 2009 - yang turut melibatkan pasukan komando serta ejen risikan.

Moeldoko bagaimanapun tidak menyatakan berapa ramai militan ditangkap atau dibunuh.

Indonesia memerangi beberapa kumpulan militan tempatan sejak awal 2000 dan menahan beberapa orang yang disyaki menerima latihan IS di Syria.

“Operasi di kawasan pergunungan Sulawesi sudah tamat, namun kami masih meletakkan anggota di sana,” katanya.

Sementara itu, Moeldoko turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan di Laut China Selatan apabila beberapa negara Asia Tenggara terbabit dalam tuntutan bertindih dengan China.

Dia menggesa diwujudkan keseimbangan tentera di rantau itu.

“Keadaan stabil dan tenang dirasai di rantau ini semakin berubah.

“Semua orang beranggapan China mengancam ‘kejiranan’ kita. Rantau ini memerlukan keseimbangan tentera yang tidak boleh diwakili oleh satu kuasa besar saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 7:34 AM