MOELDOKO (tengah) berjanji cari pembunuh sampai dapat.
MOELDOKO (tengah) berjanji cari pembunuh sampai dapat.

Jakarta: Panglima Tentera Negara Indonesia (TNI), Moeldoko semalam mendakwa bekas anggota Gerakan Aceh Merdeka (GAM) membunuh dua askar negara itu di Aceh baru-baru ini.

“Ada musuh lama yang mahu menunjukkan kewujudan mereka,” kata Moeldoko.

Ketika ini, ujarnya, TNI dan polis sedang mengenalpasti identiti suspek yang membunuh dua anggota TNI yang dikenali sebagai Idra Irawan dan Hendrianto.

“Kami bekerjasama dengan polis. Arahan saya jelas, cari mereka sampai dapat,” ujarnya.

Moeldoko berkata, beliau melihat pembunuhan itu dilakukan secara spontan, bukannya dirancang.

“Mereka (pembunuh) mungkin berasa terganggu kerana perajurit saya tiga kali menemui ladang ganja di tiga tempat dengan keluasan 1.5 hingga 15 hektar,” jelasnya.

Menurutnya, mayat kedua-dua askar itu ditembak bertubi-tubi dan dibogelkan.

“Itu adalah pesanan yang jelas kepada kita dan untuk itu kami juga akan memberi pesanan yang jelas terhadap mereka,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 10:11 AM