LOW (dua dari kiri) dan chef selebriti, Nik Michael (dua dari kanan) bersama Pizza Huts Signature Series.
LOW (dua dari kiri) dan chef selebriti, Nik Michael (dua dari kanan) bersama Pizza Huts Signature Series.

Petaling Jaya: Pizza Hut Malaysia (Pizza Hut) berharap pihak kerajaan dapat mengambil pendekatan lebih jelas mengenai cadangan pemansuhan cukai perkhidmatan di kalangan pengusaha sektor makanan dan minuman bagi memastikan ia memberi panduan terbaik kepada semua pihak yang terbabit dalam perniagaan itu.

Pengurus Besar Kanannya, Low Kang Moon berkata, pihaknya kini memansuhkan seketika pelaksanaan cukai terbabit ekoran langkah kerajaan untuk mengkaji semula perkara itu sehingga keputusan muktamad diumumkan menjelang akhir bulan ini.

“Kami kini menunggu keputusan hasil daripada rundingan kerajaan dengan pemain dalam sektor makanan serta minuman dan berharap perkara ini akan lebih jelas kerana pada masa ini ia dilihat banyak menimbulkan kekeliruan bukan sahaja dalam kalangan pengusaha, malah pengguna,” katanya selepas pelancaran menu baru iaitu Pizza Hut Signature Series di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, kerajaan berhasrat memansuhkan cukai perkhidmatan di mana banyak aduan daripada beberapa badan bukan kerajaan berhubung pengutipan caj perkhidmatan yang meningkat kepada 10 peratus dalam industri hotel dan lima hingga 10 peratus untuk industri makanan serta minuman.

Sementara itu, Pizza Hut memperkenalkan Pizza Hut Signature Series yang ditawarkan dalam empat variasi iaitu Seriously Sriracha, Barbecue Bang, Fisherman’s Catch dan Italian Primo pada harga berpatutan.

Kang Moon berkata, Signature Series menampilkan piza enak yang dihasilkan oleh Chef Selebriti Nik Michael termasuk piza berbentuk segi empat di mana ia menampilkan gabungan tiga keju istimewa iaitu keju cheddar, provolone dan mozarella.

“Signature Series adalah rangkaian piza eksklusif daripada Pizza Hut dengan kerak nipis serta inti daripada bahan berkualiti premium dan boleh didapati pada harga bersih RM12. Objektif kami adalah untuk memastikan pelanggan berpeluang menikmati piza berkualiti terutama selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan mereka lebih berhati-hati dalam membelanjakan wang masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 12:44 PM