AYU Damit tak serik ambik pembantu rumah. FOTO Arkib NSTP.
AYU Damit tak serik ambik pembantu rumah. FOTO Arkib NSTP.
Najiy Jefri


DALAM tempoh setahun, penyanyi Ayu Damit sudah menukar 16 pembantu rumah selepas ada yang melarikan diri dan memohon dihantar pulang.

Ayu berkata, kali terakhir dia mempunyai pembantu rumah ialah September lalu selepas empat pembantu daripadanya melarikan diri dan selebihnya minta dihantar semula kepada ejen.

"Saya sudah memberikan segala kemudahan dan keselesaan kepada mereka, tetapi ada yang tidak mengenang budi serta tidak tahan dengan pekerjaan ini.

"Bayangkan dalam tempoh setahun ini saya sudah menukar 16 pembantu rumah. Paling lama yang bertahan adalah selama empat bulan dan paling sekejap cuma sehari.

"Mujur tiada yang panjang tangan, cuma ada seorang yang menggeledah bilik saya untuk mengambil pasportnya," katanya.

Ayu yang kini terpaksa menghantar tiga anaknya ke taska berkata, dia tidak serik untuk mencari pembantu rumah baru tetapi berharap dapat bertemu dengan yang berdisiplin dan boleh bertahan lama untuk bekerja.

"Saya tidak pernah serik kerana saya memang nak cari pembantu rumah lagi memandangkan jadual saya yang sibuk,” katanya.

Ayu berkata, kemungkinan faktor utama pembantu rumahnya tidak tahan kerana sukar mengawal anak-anaknya.

"Saya rasa mungkin mereka tidak tahan untuk menjaga anak saya. Biasalah budak-budak memang agak lasak. Disebabkan itu mungkin mereka tidak mampu menjaganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 5:30 PM