ZAINAL bantu Nadeera muncul dengan single pertama.
ZAINAL bantu Nadeera muncul dengan single pertama.
Oleh Michelle Gun


Walaupun tidak ber­jaya ke final Mentor Legend, Nadeera sudah mendahului bekas peserta lain program realiti itu dengan single pertama berjudul Hasrat Hati.

Impian Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 22, membina karier dalam industri muzik tanah air kini menjadi kenyataan dengan bantuan bekas mentornya, penyanyi terkenal Zainal Abidin.

Mengikut langkah Zainal, penyanyi berasal dari Mersing, Johor itu memilih lagu berirama World Music dan balada yang dicipta komposer Amirah Ali manakala lirik nukilan Sulu Sarawak.

Minat menyanyi sejak di bangku sekolah, Nadeera berkata, single Hasrat Hati istimewa baginya kerana menceritakan perjalanannya dalam karier nyanyian bermula daripada penyertaan Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua hingga Mentor Legend.

“Saya menghayati lagu ini kerana impian untuk menjadi penyanyi sejak kecil akhirnya menjadi kenyataan,” katanya ketika Majlis Pelancaran Single Hasrat Hati, baru-baru ini.

Ingin berjaya seperti bekas mentornya, Nadeera bersyukur kerana bertemu dengan Zainal yang disifatkannya sebagai penyanyi yang berkarisma.

“Dia (Zainal) banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar, malah saya sudah menganggap dia sebagai bapa.

“Saya ingin menjadi artis legenda seperti Zainal dan menjadi penyanyi bukan kerana mahu kejar populariti,” katanya.

Pilih lagu bukan mengenai cinta

Selain single, Zainal sudah mempunyai perancangan untuk membantu Nadeera menghasilkan album sulung yang berkonsepkan World Music dan balada.

“Buat masa ini, saya mahu Nadeera fokus terhadap single sebelum memulakan pembikinan album pada Julai atau Ogos ini,” katanya.

Menurut penyanyi yang dikenali dengan lagu Hijau itu, dia mengambil masa memilih lagu sesuai untuk Nadeera mengikut selera pendengar dan sengaja meminta Sulu Sarawak untuk menulis lirik yang bukan bernafas cinta.

“Selalunya penyanyi baru akan membawa lagu berunsur cinta tetapi saya mahu Nadeera nyanyi lagu yang menceritakan mengenai kejayaannya dalam industri seni tanah air.

“Lagu ini sesuai untuk Nadeera kerana melambangkan dia berdiri di atas nama sendiri,” katanya.

Memuji bakat Nadeera yang boleh menyampaikan pelbagai genre lagu, Zainal memilih untuk berkolaborasi dengan pencipta baru, Amirah Ali kerana mahu single Hasrat Hati kede­ngaran berbeza daripada lagu pop sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:00 AM