Oleh Rudy Imran Shamsudin


Tidak dinafikan peserta program realiti Mentor Legend yang disiarkan TV3 sebelum ini memiliki bakat besar dari sudut vokal.

Malah tiga finalisnya, Azmil anak didik Dayang Nurfaizah, Aina protege Ella dan Sarah diasuh penyanyi utama kumpulan Search, Amy, memiliki kelebihan dari sudut penyampaian dan persembahan. Sekiranya diasuh, tidak hairan satu hari nanti mereka mampu mencipta nama.

Selepas empat bulan meninggalkan pentas Mentor Legend, masing-masing mula mengorak langkah. Dilihat dari perkembangan setiap peserta, protege Zainal Abidin, Nadeera terlebih dulu muncul dengan lagu baru.

Begitu juga calon protege Ajai, Mal Imran dan calon protege Dayang, Sandra juga tampil dengan single masing-masing iaitu Cinta Sukar Ditafsirkan dan Hey Kau!.

Walaupun mereka dilihat akrab sepanjang pertandingan berlangsung selama tiga bulan dan berakhir Februari lalu, realitinya persaingan sesama mereka sudah bermula.

Cuma ke mana arah dan hala tuju juara, Azmil, Aina (naib juara) dan Sarah (tempat ketiga) selepas pertandingan tamat. Tambah pula mereka bertiga dilihat senyap tanpa sebarang perkembangan. Tidakkah mereka bertiga bimbang akan ketinggalan apabila masih lagi tercari-cari tempat dalam industri?

Azmil atau Azmil Karim menjelaskan, kerjaya seninya berjalan seperti dirancang. Malah single pertamanya, Nyawaku sudah diperdengarkan kepada umum.

“Saya ditawarkan untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone dan diuruskan 8Unit. Lebih menggembirakan hati saya, walaupun single pertama baru saja dipasarkan, pihak syarikat pengurusan kini sedang mengusahakan rakaman untuk single kedua dan kini kerja-kerja rakaman sudah 80 peratus selesai,” katanya.

Azmil yang berasal dari Tawau, Sabah dan kini menetap di Kuala Lumpur mengakui selain menyanyi dia meneroka peluang yang boleh dilakukan bagi mengembangkan bakatnya.

“Seperti menjayakan pelbagai rancangan TV, pada saya ia mampu membina keyakinan diri dan jadi lebih kreatif. Pada pandangan saya, perkara itu perlu kerana untuk lebih menonjol seseorang penyanyi itu perlu ada nilai tambah,” katanya.

Melihat Aina dan Sarah sebagai pesaingnya kini, kata Azmil, sebenarnya semua peserta yang pernah mengikuti Mentor Legend kini berlumba-lumba mencari tempat dalam industri.

“Mal Imran antara peserta Mentor Legend yang keluar dengan single diikuti Nadeera. Saya percaya Aina dan Sarah juga mempunyai perancangan. Namun dalam perlumbaaan antara kami, saya percaya kekuatan lagu menjadi penentu.

“Andai lagu ditampilkan sedap dan menarik, ia pasti popular dan mampu mengangkat nama penyanyi itu,” katanya.

Mengenai hubungannya dengan Dayang dan adakah penyanyi popular itu masih lagi membantu dengan mengatur kerjaya seninya, Azmil berkata, penyanyi yang popular dengan lagu Di Pintu Syurga itu memberikan ruang kepadanya bekerja bersama 8Unit.

“Ada orang kata kami kini sudah tidak lagi bersama dan sebaik selesai pertandingan, membawa hal masing-masing. Sebenarnya tidak kerana kalau ada perkara yang saya sangsi dan perlukan khidmat nasihat, saya masih merujuk kepada Dayang,” katanya.

Bagi Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, dia juga bakal muncul dengan lagu baru kerana masih lagi berusaha menyiapkan single pertamanya, Ini Yang Kau Mahu.

Katanya, apabila melihat bekas peserta Mentor Legend mula mengorak langkah dan tampil dengan single masing-masing duia akui timbul rasa kebimbangan takut ketinggalan.

“Tapi saya cuba bersikap positif kerana apabila difikirkan kembali, sekarang ini rezeki mereka dan mungkin selepas ini rezeki saya pula akan tiba,” katanya.

Kata Aina, mentornya yang mendapat ‘jolokan’ ratu rock negara menyerahkan segalanya kepada TV3 dan single yang dihasilkan sendiri itu akan diedarkan syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd. Malah TV3 juga menaja keseluruhan kos pembikinan single terbarunya itu.

“Begitupun sebelum merakamkan lagu yang saya cipta sendiri ini, saya memperdengarkannya kepada Ella terlebih dulu. Dia sangat menggemarinya dan berkata, ia memiliki elemen kemelayuan,” katanya.

Sarah pula mengakui, apabila sebahagian besar peserta Mentor Legend muncul dengan lagu pertama mereka, dia berasa tercabar.

“Ia tidak bermakna saya tidak berusaha untuk bersama-sama dengan mereka tampil dengan lagu pertama tetapi sebaiknya saya menunggu waktu sesuai.

“Kata orang kalau kita lambat bangun bermakna nanti kita lambat jatuh. Apa pun yang berlaku, saya tetap berusaha mengejar cita-cita untuk jadi penyanyi,” katanya.

Sarah atau Maishara Fazny Mahadzir berkata, selepas meninggalkan Mentor Legend, dia tidak lagi bersama dengan Amy Search, sebaliknya membuat keputusan untuk menguruskan kerjaya seninya sendiri.

“Sebelum Mentor Legend lagi, saya memang sudah menyanyi dan kerjaya seni diuruskan keluarga sepenuhnya. Kalau bapa tidak ada, ibu atau abang akan menemani dan menguruskan segalanya mengenai kerjaya seni Sarah. Sarah lebih selesa kalau keluarga sendiri menguruskan Sarah,” katanya.

Sarah juga menafikan timbul perselisihan faham di antara dia dan pengurusan Amy yang turut menguruskan dirinya sepanjang tiga bulan menyertai Mentor Legend.

“Memang sepanjang tempoh itu pengurusan Amy yang menguruskan saya tetapi selepas itu Amy sendiri mahu saya berdikari dari awal.

“Kalau hendak diikutkan, tiga bulan itu terlalu singkat. Begitupun, Amy dan pengurusannya sangat ikhlas membantu dan mengajar saya untuk menjadi anak seni yang bagus dan selalu bersikap positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:03 AM