MARSYAL berbasikal dari Sabah Amateur Radio Society (SARS) membantu perjalanan peserta kayuhan.
MARSYAL berbasikal dari Sabah Amateur Radio Society (SARS) membantu perjalanan peserta kayuhan.
AKSI peserta kayuhan selepas dilepaskan.
AKSI peserta kayuhan selepas dilepaskan.
YEO melepaskan peserta kayuhan.
YEO melepaskan peserta kayuhan.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Hanya bertemankan cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam, Kayuhan Earth Hour yang diadakan sempena program Earth Hour di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini berjalan dalam suasana cukup tenang dan mendamaikan.

Kayuhan sejauh 15 kilometer (km) disertai 300 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong asing itu dilepaskan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Yeo Boon Hai.

Peserta dilepaskan tepat jam 8.30 malam di Segama Waterfront serentak dengan pemadaman lampu di beberapa buah bangunan yang menyertai program ‘Earth Hour’ selain lampu jalan yang dimatikan.

Sebaik dilepaskan, peserta melalui laluan Jalan Api-Api, Jalan KK Bypass, Jalan Tun Fuad Stephens, Bulatan Tanjung Lipat dan kembali ke Jalan Tun Fuad Stephens sebelum tamat di garisan permulaan.

Peserta kayuhan, Lojorin Geoffrey, 37, berkata, kayuhan itu adalah sebagai tanda sokongan kepada program ‘Earth Hour’ yang diadakan hampir setiap tahun selain mengekalkan kesihatan badan melalui berkayuh.

“Hampir setiap tahun, saya bersama keluarga menyertai aktiviti kayuhan ini sebagai tanda sokongan dalam meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap perubahan iklim.

“Selain itu, melalui aktiviti ini, kita juga berupaya untuk mendapat rakan baru yang mempunyai minat sama dalam berbasikal,”katanya.

Lojorin yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kolombong turut mengakui, aktiviti berbasikal bersama keluarga dan rakan tidak mengganggu rutin harian kerjanya.

Anaknya, Max Dyrell Freddy berkata, kayuhan ‘Earth Hour’ adalah suatu perkara yang perlu disokong dalam usaha mengurangkan kadar pemanasan global.

“Saya tertarik untuk menyertai aktiviti sihat ini selain menyokong negara kita menjadi sebuah negara yang menuju amalan hidup hijau,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir berkata, aktiviti berbasikal itu adalah sebahagian dari pengisian program ‘Earth Hour’ peringkat bandar raya Kota Kinabalu yang bermula seawal jam 7 malam.

“Aktiviti berbasikal ini adalah bagi menarik minat kaki kayuh sekitar bandar raya ini di mana mereka akan berkayuh sejauh 15 kilometer (km) tepat jam 8.30 malam sekali gus upacara memadamkan lampu diadakan,”katanya.

Katanya, selain dari aktiviti berbasikal, persembahan hiburan kumpulan Buskers turut diadakan bagi menghiburkan pengunjung yang hadir seawal jam 6.30 petang.

Katanya, lilin kitar semula yang dihasilkan dari minyak masak terpakai turut digunakan selain demo dan teknik pembuatan lilin diturut diadakan pada program ‘Earth Hour’.

“Selain itu, aktiviti ‘garage sale’ juga akan diadakan bersama dengan persembahan hiburan oleh beberapa kumpulan Buskers’,” katanya.

Dalam pada itu, Abidin berkata, penganjuran ‘Earth Hour’ itu diadakan adalah bagi meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap perubahan iklim.

Katanya, program yang bermula 2007 itu juga adalah sebagai satu tindakan sokongan pelbagai pihak bagi menghalang sebarang tindakan yang menyumbang kepada pemanasan global.

“Ianya juga tanda sokongan DBKK kepada kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedar akan isu pemanasan global dan menyokong segala usaha untuk mencegah pemanasan global dari terus berlaku dan meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:01 AM