Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Pertonas Chemicals Group Bhd (PCG) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM3 bilion tahun ini bagi menampung pembiayaan pelaksanaan beberapa projek utama antaranya Projek Amonia dan Urea Sabah (SAMUR) serta dua projek di Kompleks Petrokimia, Gebeng, Kuantan.

Tahun lalu, PCG memperuntukkan RM3.1 bilion iaitu lebih tinggi dari tahun ini berikutan penutupan operasi bagi memberi laluan kepada pelaksanaan aktiviti penyelenggaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif PCG Datuk Wan Zulkiflee Wan Arifin berkata, dua projek di Gebeng itu membabitkan kerjasama dengan syarikat kimia asing, BASF (M) Sdn Bhd bagi membangunkan Kompleks Ramuan Aroma Bersepadu dan kilang menghasilkan asid chemical 2-Ethylhexanoic (2-EHAcid).

Beliau berkata, Kompleks Ramuan Aroma Bersepadu mencatatkan capex sebanyak RM741.2 juta manakala projek 2-EHAcid membabitkan pelaburan RM60 juta yang mana kedua-duanya dijangka dapat disiapkan menjelang 2016.

“PCG juga dalam proses menyiapkan saluran gas di Dalak, Sabah sebagai sumber gas metana ke kilang-kilang syarikat untuk meningkatkan kadar penggunaan kepada lebih 85 peratus bermula 2016.

“Kami juga menjangkakan capex yang disalurkan dapat mengukuhkan prestasi kewangan syarikat dari semasa ke semasa memandangkan ketiga-tiga projek ini memberi manfaat untuk jangka masa panjang,” katanya pada majlis mesyuarat agung tahunan PCG 2014 di sini, semalam.

PCG mencatatkan keuntungan bersih RM2.73 bilion pada 2014 iaitu menurun 21.6 peratus berbanding RM3.5 bilion pada tahun sebelumnya berikutan penguncupan perolehan sebanyak empat peratus kepada RM14.6 bilion berbanding RM15.2 bilion pada tahun sebelumnya.

PCG mempunyai 29 loji yang mempunyai kapasiti pengeluaran 10.8 juta metrik tan setahun yang terletak di Gurun, Kertih, Gebeng, Bintulu, Labuan dan Sipitang.

Wan Zulkiflee berkata, harga petrokimia adalah bergantung kepada harga pasaran harga minyak dunia dan PCG menjangkakan ia kembali pulih pada separuh kedua tahun ini selepas mengalami kemerosotan harga pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:23 AM