BAKAL ke Indonesia untuk penggambaran Ke Indonesia Ke Kita?
BAKAL ke Indonesia untuk penggambaran Ke Indonesia Ke Kita?
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Sebelum ini Wak Doyok dan penyanyi kumpulan Oh Chentaku, Myo sudah berkelana ke Korea Selatan menerusi program variasi travelog berjudul Ke Korea Ke Kita? yang disiarkan menerusi TV9.

Program yang menampilkan mereka sebagai pengacara ini berkonsepkan ‘travel game show’ di mana kedua-duanya perlu mengharungi cabaran permainan di samping mempromosi lokasi menarik di Korea Selatan.

Ternyata ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton dan ekoran kejayaan itu, Wak Doyok dan Myo berkelana lagi ke luar negara untuk musim terbaru.

Kali ini, Indonesia pula menjadi pilihan dan mereka berlepas ke sana bagi melakukan penggambaran untuk 13 episod Ke Indonesia Ke Kita? dalam masa terdekat.

“Sebenarnya saya sendiri tak sangka program ini dapat sambutan baik penonton. Ternyata mereka suka dengan paparan yang ditampilkan. Apatah lagi program ini ada kelainan kerana menggabungkan dua personaliti kami yang berbeza.

“Kami tak pernah kenal antara satu sama lain dan apabila digandingkan pelbagai aksi lucu dan mencuit hati dapat disaksikan menerusi program musim lalu,” katanya.

Jejaka dengan nama sebenar Mohd Azwan Md Nor, 36, berkata, paparan cerita yang dimuatkan dalam program ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan inilah antara faktor mendapat tontonan tertinggi.

“Kami menjadi diri sendiri dan bukan berlakon. Semua yang dimuatkan berlaku secara spontan.Syukur inilah yang dikatakan rezeki. Sejak tampil menerusi program ini, populariti saya semakin bertambah di mata peminat,” katanya.

Jika di Korea Selatan mereka berhadapan cabaran komunikasi, Wak Doyok menganggap situasi di Indonesia pasti berlainan kerana bahasa mereka dan rakyat Malaysia tiada banyak perbezaan.

Luaskan perniagaan

Dikenali sebagai ikon fesyen, Wak Doyok kini menambah lagi profilnya sebagai usahawan apabila membuka kedai gunting rambut di Subang Jaya, Selangor yang bakal memulakan operasi tidak lama lagi.

“Ini antara impian saya sejak dulu dan kini hampir jadi kenyataan. Sebelum ini saya terbabit dalam bidang penampilan diri (grooming) dan fesyen jadi apa salahnya saya buka kedai gunting rambut pula kerana saling berkaitan.

“Saya sukakan bidang fesyen, tapi saya sedar perlunya ada ‘back up’ dari sumber lagi untuk menampung kehidupan pada masa depan,” katanya.

Menurutnya lagi, dia juga terbabit dalam program Kuala Lumpur Fashion Week yang bakal berlangsung pada Ogos nanti.

“Saya akan bekerjasama dengan pereka fesyen baru untuk jenama pakaian Meg Wak. Kami menghasilkan pakaian lelaki berkonsep sedia untuk dipakai. Pelancaran dibuat ketika program itu berlangsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:15 AM