Oleh Syafil Syazwan Jefri


Ikon fesyen Wak Doyok kini mula selesa bergelar pelakon apabila ditawarkan watak dalam filem Abang Long Fadil 2 arahan Syafiq Yusof.

Bagaimanapun, Wak atau nama sebenarnya Muhammad Azwan Mohd Nor menolak untuk menjadikan lakonan sebagai karier utama sebaliknya sekadar untuk mengisi kelapangan.

“Orang mengenali saya sebagai orang fesyen dan bukan pelakon. Saya bukanlah pelakon handalan, tetapi kalau ada kelapangan dan tawaran untuk karya yang menarik, saya tidak akan menolak,” katanya.

Dia yang menyandang Anugerah Top Asia Influencer 2015 untuk kategori fesyen di Asian Influence 2015 baru-baru ini juga tidak menolak sekiranya ditawarkan watak utama.

“Kalau ditawarkan watak utama, saya tidak menolak dan akan terima. Kalau boleh, saya ingin cuba pelbagai jenis watak lagi,” katanya.

Filem Abang Long Fadil 2 menampilkan Wak Doyok sebagai watak antagonis, tetapi turut punya elemen komedi.

“Dalam filem ini, watak saya menggunakan nama asal, Wak Doyok iaitu anak kepada Taji Semprit lakonan A Galak. Saya ialah anak kepada penjahat yang cuba merebut takhta sebagai ketua geng jahat dan mengkhianati bapa sendiri.

“Walaupun watak jahat, tetapi tetap ada elemen komedi dan paling menarik, konsep pakaian yang diketengahkan berkonsepkan pakaian ala Inggeris yang memang menjadi ‘trademark’ saya,” katanya.

Dialog yang memerlukannya bertutur dalam bahasa Jawa dan Indonesia adalah cabaran buat Wak dalam menjayakan filem pertama lakonannya itu.

“Yang sukar ialah skripnya dalam bahasa Malaysia tetapi saya perlu tukarkannya ke dalam bahasa Jawa dan Indonesia.

“Saya dan A Galak sedikit sebanyak saling membantu dalam berdialog,” katanya.

Selain bahasa pertuturan, babak aksi pergaduhan juga menjadi salah satu cabaran besar buat dirinya.

“Babak pergaduhan memang susah. Kebanyakan aksi saya lakukan sendiri kerana saya ada asas dalam seni mempertahankan diri iaitu silat. Sepanjang penggambaran, ada juga aksi yang menyebabkan saya tercedera,” katanya.

Untuk filem pertama lakonannya ini, Wak berharap agar penerimaan positif daripada penonton.

“Saya sudah melakukan yang terbaik dan berharap agar penerimaan penonton juga adalah positif,” kata Wak.

Ditanya mengenai perancangannya sempena tahun 2016, Wak berkata, dia akan mewakili negara dalam majlis pertemuan dengan blogger fesyen di Los Angeles, Amerika Syarikat, Mac ini.

Menurutnya, selepas itu dia akan ke Eropah menjalani penggambaran program travelog Ke Europe ke Kita? bersama Myo selama 55 hari bermula April depan.

Selain itu, Wak juga bakal bergelar penyanyi.

“Menyanyi pun memang menjadi salah satu minat saya. Genre pilihan saya tentunya balada. Sudah ada tawaran untuk lagu, cuma saya belum berpeluang untuk merakamkannya lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 9:17 AM