POLIS memeriksa kereta yang hangus dibakar selepas ditembak dalam kejadian serang hendap terhadap konvoi polis.
POLIS memeriksa kereta yang hangus dibakar selepas ditembak dalam kejadian serang hendap terhadap konvoi polis.
AFP

Guadalajara (Mexico): Seramai 15 anggota polis terbunuh diserang hendap kumpulan samseng di barat Mexico yang dianggap peristiwa paling berdarah bagi pasukan keselamatan negara itu yang berusaha membanteras kegiatan dadah.

Lima lagi anggota parah dalam serangan itu di jalan kampung berhampiran pekan Soyatan ketika konvoi membawa unit polis elit menuju ke Guadalajara, bandar kedua terbesar Mexico, kelmarin.

Pihak berkuasa mengesyaki kartel dadah ‘Jalisco New Generation’ melancarkan serangan itu selepas menunggu satu atau dua hari sehingga konvoi berkenaan lalu di situ.

Pesuruhjaya keselamatan negeri Jalisco Francisco Alejandro Solorio Arechiga berkata, kumpulan itu menyekat jalan dengan kenderaan yang disimbah minyak sebelum dibakar.

Katanya, kumpulan yang melakukan serangan itu besar. Ia kekalahan paling teruk dalam sehari dialami pasukan keselamatan Mexico sejak pemerintahan Presiden Enrique Pena Nieto, dua tahun lalu.

Pada 2010, 12 polis persekutuan terbunuh di negeri berhampiran, Michoacan. Dalam satu lagi serangan hendap pada 2012 mengakibatkan 12 polis tempatan dan negeri maut di Guerrero.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 7:29 AM