SCHEFFLER berlatih menjelang kejohanan RBC Heritage di Harbour Town Golf Links. FOTO AFP
SCHEFFLER berlatih menjelang kejohanan RBC Heritage di Harbour Town Golf Links. FOTO AFP
AFP

Miami: Scottie Scheffler meluangkan masa untuk meraikan kejayaan muncul juara Masters kali kedua, Ahad lalu, tetapi pemain nombor satu dunia itu bersedia untuk kejohanan berikutnya di RBC Heritage di South Carolina.

Selepas kemenangan itu, pemain Amerika Syarikat (AS) itu pulang dari Augusta National untuk melawat isterinya, Meredith yang sedang mengandung dan memakai jaket hijau Masters untuk bertemu rakannya di bar di Dallas.

"Saya bergambar, minum sedikit dan kemudian pulang ke rumah serta tidur," kata Scheffler, hari ini, yang memaklumkan dia menghabiskan sekitar 20 minit di bar berkenaan.

Kini, dia berada di Harbour Town Golf Links di Hilton Head, apabila dia memburu gelaran keempatnya bagi 2024.

Scheffler yang tidak bermain mengatasi par sejak Ogos mengakui agak keletihan, tetapi tidak akan membiarkan situasi itu mengganggu prestasinya di kejohanan Elit Jelajah PGA itu, yang membabitkan lapan daripada 10 pemain terbaik dunia.

"Saya meninggalkan isteri yang sedang mengandung di rumah untuk datang ke sini dan bermain di kejohanan golf. Saya di sini untuk bermain dan diharapkan dapat bermain dengan baik," kata Scheffler.

"Saya tidak berada di sini untuk berseronok."

Pengakuan itu sudah pasti memberi amaran kepada pemain lain yang bakal bertarung nanti.

Juara bertahan Terbuka AS, Wyndham Clark berkata, pencapaian Scheffler pada musim ini termasuk muncul juara Clark di Bay Hill dan Kejuaraan Pemain - sudah cukup untuk membuatkan dia menilai semula apa yang dilakukannya.

"Saya fikir, semua orang akan melihat diri mereka di cermin dan berkata, 'apa yang perlu saya lakukan untuk menjadi lebih baik?'

"Ia kerana anda sudah merasakan bermain gol dengan baik, tetapi masih tidak mampu menewaskannya."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:49 AM