Kota Kinabalu: Anggota keselamatan diingatkan supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang ancaman berbentuk tradisional atau bukan tradisional bagi memastikan kedaulatan negara ini terus terpelihara.

Justeru, Panglima Angkatan Petugas 450, Mej Jen Datuk Masrani Paiman, berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota untuk melaksanakan tugas melalui kepimpinan efektif dan pengurusan aset yang efisien.

“Kita mesti berupaya melaksanakan sesuatu yang betul walaupun tiada siapa melihatnya kerana sebagai seorang pegawai, kita dituntut mempamerkan integriti dalam pelbagai aspek,” katanya pada majlis makan malam sempena ulang tahun pertama Rejimental Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat dan Angkatan Petugas 450, malam tadi.

Beliau yakin di bawah kepimpinan Panglima Medan Timur Lt Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar, ia akan menjadikan pasukan itu gah, tangkas, perkasa yang bukan sahaja dapat mematahkan sebarang bentuk ancaman malah mampu mendukung usaha pembangunan negara secara keseluruhannya.

Markas Pemerintahan Wilayah Timur ditubuhkan pada Mac tahun lalu bersama Angkatan Petugas 450 (Task Force 450). Task Force 450 adalah nukleus penubuhan Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia yang diumumkan pada Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-81.

Penubuhan itu bertujuan memperkemas kerjasama antara agensi demi memastikan keselamatan umum sentiasa terpelihara, mempererat serta memperkukuh kerjasama dua hala negara-negara jiran khususnya melibatkan aktiviti rentas sempadan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 4:24 PM