Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman. FOTO BERNAMA
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menerima beberapa kepimpinan tertinggi baharu bermula esok termasuk Panglima Tentera Darat (PTD), Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) dan Panglima Medan Barat, kata Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Beliau berkata, TPTD Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan akan mengambil alih jawatan sebagai PTD yang ke-30.

Menurutnya, Panglima Medan Barat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pula akan mengambil alih jawatan sebagai TPTD yang baharu.

"Selain beliau, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Panglima 2 Divisyen) Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri akan dinaikkan pangkat Leftenan Jeneral dan dilantik sebagai Panglima Medan Barat yang baharu.

"Bermula esok akan berlaku perubahan ke atas kepimpinan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) bahawa saya akan serahkan tampuk pemerintahan tentera darat kepada TPTD yang akan dinaikkan pangkat sebagai Jeneral dan dilantik sebagai PTD yang ke-30," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat ke-29 di Dataran PTD Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengamal media yang menjadi ejen penghubung terus kepada masyarakat dalam memberikan dan menghebahkan maklumat berkaitan tugas peranan dan tanggungjawab amnya tentera darat," katanya.

Istiadat Perbarisan itu terdiri daripada 12 Detasmen berkekuatan seramai 46 pegawai dan 1,110 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Azroi Ariffin Shah - Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Perbarisan itu melibatkan tujuh Panji-Panji Rejimen dan Kor di dalam Tentera Darat Malaysia iaitu Panji-Panji RAMD, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Rejimen Semboyan Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Rejimen Artileri Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja sebagai penghargaan dan penghormatan kepada Mohammad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 1:42 PM