Kuala Lumpur: Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar Amerika minggu depan dengan belian untuk menampung kekurangan berterusan, kata penganalisis.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata sentimen belian yang positif bagi unit tempatan disokong oleh laporan ekonomi yang lemah di AS, termasuk peningkatan sedikit dalam gaji swasta.

“Kekuatan dolar AS menyusut selepas terdapat jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan menaikkan kadar faedah mula berkurang,” katanya kepada Bernama.

Ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi sepanjang minggu yang baru berakhir.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan kukuh berbanding dolar AS pada 3.6680/6720 daripada 3.6830/6870 pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, ringgit bercampur-campur semasa mengakhiri minggu berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding yen pada 3.0643/0687 daripada 3.0830/0874 minggu lepas dan mengukuh berbanding pound kepada 5.4352/4426 daripada 5.4586/4663 minggu lepas.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.7028/7082 daripada 2.6844/6883 pada Jumaat lepas dan turun berbanding euro kepada 3.9904/9955 daripada 3.9854/9901 sebelumnya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 12:27 PM