AMYERA bersama kasut kesayangannya yang dibeli daripada pembeli peribadi.
AMYERA bersama kasut kesayangannya yang dibeli daripada pembeli peribadi.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Satu persatu beg tangan berjenama mewah ini disusun di atas kerusi di tepi kolam renang berhampiran kediamannya. Pelbagai jenis jenama daripada berharga ribuan ringgit sehingga puluhan ribu menjadi antara simpanan peribadinya. Antara yang menjadi kesayangan Fatin Amyera Zainal Abidin, 26, adalah tiga beg tangan Hermes berharga RM50,000 setiap satu, Chanel dan Gucci serta Louis Vuitton (LV) yang kebanyakan dibeli menerusi pembeli peribadi dan ada juga di butik.

“Ini hanya sebahagian saja, masih ada koleksi lama yang saya simpan rapi di rumah. Semuanya saya sayang kerana perlu menunggu lama untuk mendapatkannya. Lebih manis apabila ia hasil daripada titik peluh berniaga,” katanya memulakan bicara ketika ditemui di kediaman mewahnya yang terletak di Kajang Selangor.

Sambil pantas membelek beg tangan Hermes rona ungu yang baru saja dibeli, dia mengakui kebanyakan wanita mempunyai keinginan memiliki beg tangan jenama mewah. Dia yang juga pengasas produk kecantikan Amyera Beauty mengakui untuk mengumpul beg tangan idaman ini bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya mula mengeluarkan jenama produk kecantikan Amyera Beauty secara serius dua tahun lalu. Setiap kali hasil jualan bertambah, saya tekadkan semangat untuk mengumpul apa yang saya inginkan. Bermula dengan membuat tabungan dan membeli kereta serta kemudian kediaman terlebih dulu. Bakinya barulah digunakan untuk membeli beg dan kasut idaman,” katanya ramah bercerita.

Bermula dengan LV yang dibeli pada harga RM4,000 dua tahun lalu di butik, ibu kepada seorang cahaya mata ini mula menjadi penggemar tegar dengan mendapatkan koleksi mewah ini setiap kali ia berada di pasaran. Dia menyukai rekaannya yang elegan dan keanggunan beg ini boleh digayakan ke mana saja. Ditambah ukuran yang besar membolehkan ia diisi dengan pelbagai barangan. Daripada LV, cita rasa Amyera beralih kepada Dior dan Chanel.

“Beg tangan pertama berjenama Dior saya beli dengan harga RM13,000 manakala Chanel bernilai RM15,000. Namun saya lebih sukakan rekaan Chanel yang tampak versatil dan sesuai dibawa ke majlis.

“Potongannya kekal begitu, namun bagi pengumpul beg tangan ini pasti tidak melepaskan peluang mendapatkannya setiap kali ada rekaan baru di pasaran. Material yang lasak, kualiti pembuatan setimpal dengan harga ditawarkan,” jelasnya yang memilih beg Chanel ketika menghadiri majlis makan malam bersama keluarga atau pelanggan.

Melihat tiga beg Hermes yang jumlahnya bernilai hampir RM160,000, bagi individu lain mungkin menganggap ia satu pembaziran kerana sanggup melaburkan wang kepada benda yang dianggap ‘kecil’ dan bukannya pelaburan jangka panjang.

Ditanya hal ini, jujur Amyera mengakui ada kala terdetik juga dalam hatinya mengapa dia sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit hanya untuk beg tangan. Tetapi apabila bertanya kepada naluri, dia mengakui fitrah keinginan wanita tetap sama inginkan sesuatu yang selama ini mereka idamkan.

“Tanyalah kepada mana-mana wanita pastinya pakaian, beg tangan dan kasut antara yang menjadi kegilaan mereka. Namun apa yang saya peroleh ini adalah hasil titik peluh sendiri selepas membangunkan jenama Amyera Beauty. Ia bukanlah sesuatu yang mudah, banyak cabaran yang saya lalui untuk berada pada tahap sekarang.

“Selepas berjaya memperkenalkan jenama ini, sedikit demi sedikit saya mula mendapatkan apa yang diidamkan secara berperingkat. Itupun selepas saya menyelesaikan apa yang sepatutnya seperti hutang dan menyediakan keselesaan untuk keluarga, ibu bapa dan adik-beradik,” katanya.

Sebagai pengasas produk, bukanlah niat Amyera menunjukkan kemewahan, tetapi ia sebagai inspirasi terutama kepada stokisnya supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang mereka

inginkan.

“Ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Dulu saya juga seperti wanita lain, tidak bekerja dan hanya mengharapkan ‘ihsan’ suami. Untuk mendapatkan satu beg LV terpaksa menunggu hadiah suami. Tetapi kini menerusi perniagaan, saya mampu mendapatkannya sendiri,” katanya tersenyum.

Bagi menjaga semua koleksi beg tangan ini Amyera menyimpan kemas dalam almari berkaca. Ini bagi mengelak habuk dan mudah rosak terutama apabila tidak digunakan. Dia juga membenarkan adik-adiknya meminjam beg yang mereka inginkan. Sekali-sekala dia menghadiahkan beg tangan buat ibu tercinta di kampung.

Selain beg tangan, Amyera juga mengumpul kasut berjenama Christian Louboutin, Valentino, sandal Hermes dan Chanel. Namun paling disayangi kasut Christian Louboutin dalam tiga warna berbeza merah, biru dan hitam.

“Saya sukakan rekaan Christian Louboutin kerana tampak anggun dan memikat dengan bucu bintang yang diletakkan di hadapan kasut. Ia tampak ranggi apabila digayakan dengan pakaian kasual terutama denim,” katanya yang turut memiliki sandal Hermes bernilai RM2,300 yang dibeli di butik.

Walaupun menggunakan pendapatan sendiri untuk mendapatkan beg tangan dan kasut berjenama mewah, suami turut melahirkan kerisauan kerana merasakan apa yang dibeli Amyera hanya mengikut nafsu semata-mata. Sekali-sekala dia akan menasihati wanita ini untuk mengawal nafsu agar tidak menghabiskan duit kepada pembelian yang tidak diperlukan.

“Biasanya suami yang akan menjadi juru audit dan menasihati saya sekiranya saya terlalu asyik membeli. Saya pula selepas membeli baru ada perasaan menyesal kerana merasakan banyak beg yang masih elok. Akhirnya saya mengambil masa yang lama untuk membeli semula. Namun fitrah semula jadi wanita tidak dapat ‘lari’ daripada membeli-belah,” katanya sambil tersenyum manis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 2:53 PM