KEBIASAANNYA dibuat pada hari istimewa.
KEBIASAANNYA dibuat pada hari istimewa.
BISKUT rapuh Scottish boleh dibuaat pelbagai bentuk.
BISKUT rapuh Scottish boleh dibuaat pelbagai bentuk.
Oleh Kusyi Hirdan


Adakah anda juga seperti penulis yang meminati biskut rapuh (shortbread) Scottish shortbread? Rasanya memang istimewa dan entah mengapa, biskut rapuh ini umpama sebuah kenangan manis. Menikmatinya sekali sekala, atau ketika di hari yang istimewa.

Kebanyakan kita pernah merasanya di dalam tin leper berwarna biru. Rasa menteganya lemak, manis dan cair di mulut.

Ia sebenarnya hasilan resipi yang ringkas saja, tetapi rasanya sangat sedap. Seperti mana kata chef terkemuka dunia Jamie Oliver, biskut shortbread boleh didapati di mana saja dengan mudah, tetapi biskut shortbread yang terbagus ialah yang dimasak hari itu atau minggu itu.

“Lebih sedap tentulah yang dimasak sendiri berbanding dibeli, lalu kita lebih menghargainya. Biskut ini sangat ringkas justeru, ia sangat sesuai sebagai pencuci mulut dimakan bersama krim dan buah-buahan. Bagi saya, cara terbaik menikmati biskut ini bersama secawan teh,” katanya.

Menurut Oliver, kita boleh membuat biskut itu dengan resipi asas saja atau campuran bahan lain seperti limau dan lavender bagi menambah perisa.

Seronok membaca segala maklumat mengenai biskut rapuh Scottish ini. Setiap makanan pun ada cerita dan sejarahnya terutama sesuatu yang dikaitkan dengan sesebuah negara. Ia mungkin sama dengan cerita makanan lain yang sangat berkait rapat dengan peristiwa dan memori ia dihasilkan.

Dikatakan biskut rapuh Scottish ini mahal dan hanya dibuat untuk hari istimewa seperti majlis perkahwinan, perayaan dan sambutan tahun baru. Kerana namanya Scottish, kaitan tentulah kepada negara Scotland.

Orang Scotland terkenal dengan masakan supnya yang sedap, kek, kek buah, scone, lempeng dan tentu sekali, biskut shortbread. Walaupun biskut ini dikaitkan asal usulnya dengan Scotland, popularitinya turut dikaitkan sebagai biskut yang mewakili United Kingdom. Biskut ini juga terdapat di Denmark, Ireland dan Sweden.

Biskut ini pada asasnya dibuat dengan resipi yang sangat ringkas. Resipi klasiknya ialah tepung, mentega dan gula kastor. Memang senang, tetapi hasil kesedapannya adalah cara ketiga-tiga resipi itu digabung manakala jumlah tepung, mentega dan gula kastor mempengaruhi rasa akhirnya.

Anda boleh mendapatkan berpuluh resipi biskut ini yang berbeza di Internet. Walaupun penulis menyukai biskut ini yang ringkas, tetapi ada yang mengubah suai resipi masing-masing mengikut kegemaran. Ada yang menambah coklat, vanila, herba, keju, koko, buahan sitrus, halia dan kekacang.

Mungkin bagi mereka yang suka menambah campuran resipi ini, hasilan biskut akan lebih berwarna-warni dan tidak membosankan berbanding biskut asas. Ia juga boleh dibentukkan seperti jejari, bulat dan tiga segi, juga sesuai ditempa pelbagai bentuk yang menarik sesuka hati pembuatnya.

Selain tambahan pada resipi dalaman, ada yang menghias cantik dengan menempel buah ceri, krim yang cantik dan celupan coklat. Apabila sudah cantik, ia bukan saja sedap dimakan, tetapi sesuai dijadikan hadiah pada insan tersayang.

Doh biskut ini juga boleh disimpan beku berbulan lamanya. Jadi anda boleh membuatnya seawal beberapa bulan dan apabila tetamu datang, potong membulat atau memanjang dan terus membakarnya.

RESIPI BISKUT SCOTTISH SHORTBREAD

-500 gram tepung

-350 gram mentega tanpa garam

-200 gram gula aising

-5 gram garam

-10 gram serbuk penaik

-6 gram esen vanila

CARA MEMBUATNYA:

1. Panaskan oven.

2. Campurkan mentega, gula dan garam. Pukul dengan kelajuan tinggi selama 10 minit.

3. Masukkan esen vanila, pukul dengan kelajuan sederhana selama lima minit.

4. Akhir sekali masukkan tepung dan serbuk penaik, gaul dengan kelajuan perlahan selama seminit sehingga rata.

5. Jadikan doh sebelum dicanai untuk membentukkannya.

6. Bakar 15 minit dalam kepanasan 150°C hingga 180°C.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 12:32 PM