Singapura: Tigerair, syarikat penerbangan tambang murah dari Singapura akan melancarkan perkhidmatan penerbangan empat kali seminggu dari Singapura ke Ipoh.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, Tigerair akan menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan akses terus kepada penumpang dari Singapura ke bandar raya keempat terbesar di Malaysia itu.

Menurutnya, perkhidmatan ke Ipoh itu akan menggunakan pesawat Airbus 320, membawa kira-kira 1,440 penumpang seminggu dan tiket untuk perkhidmatan baru itu, dijadual bermula pada 29 Mei ini yang akan mula dijual mulai 20 April ini.

“Ipoh, destinasi keempat Tigerair di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang, terkenal sebagai syurga makanan.

“Perkhidmatan ini bukan sahaja akan menarik pelancong, tetapi juga menawarkan pilihan mudah kepada penumpang yang berulang-alik di antara Singapura dan Ipoh,” katanya.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 8:12 AM