Kerja membaiki mendapan tanah di landasan LTSAS dilakukan. FOTO Abdullah Yusof
Kerja membaiki mendapan tanah di landasan LTSAS dilakukan. FOTO Abdullah Yusof
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang ditutup selama 24 jam sejak 6.40 petang semalam dibuka semula pada 5 petang, hari ini.

Landasan itu terpaksa ditutup berikutan berlaku kesan mendapan ketika pemeriksaan rutin dibuat oleh pasukan teknikal semalam.

Penerbangan pertama pesawat Tigerair daripada Singapura dijangka mendarat pada 5 petang dan satu lagi penerbangan daripada syarikat sama akan berlepas pada 5.35 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kesan mendapan itu sebenarnya berpunca daripada hakisan tanah akibat daripada air hujan yang bertakung di bawah tanah.

“Pemeriksaan rutin oleh pegawai sebanyak tiga kali sehari dan ketika pemeriksaan dilakukan pada 6 petang semalam didapati satu kawasan seluas 12 sentimeter dengan kedalaman satu meter dikesan di landasan berkenaan.

“Kawasan itu dibaiki dengan digali dan ditambah tanah. Segala baik pulih selesai pada jam 12.30 tengah malam semalam.

“Landasan itu kini sudah sempurna dibaiki dan selamat digunakan,” katanya selepas membuat lawatan ke lokasi hakisan hari ini.

Hadir sama, Pengurus Lapangan Terbang Malaysia Airport Sdn Berhad LTSAS, Mohd Ali Osman.

Mah berkata, sebanyak 12 penerbangan membabitkan 846 penumpang tergendala hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 6:00 PM