San Antonio, AS: Wira tempatan Jimmy Walker merangkul kejuaraan Jelajah PGA AS kelima semalam apabila merakam dua bawah par 70 pada pusingan akhir untuk memenangi Terbuka Texas bernilai AS$6.2 juta (RM23 juta) dengan empat pukulan.

Walker yang tinggal hanya setengah jam perjalanan dari lapangan TPC San Antonio, mendahului empat pukulan sebelum pusingan akhir dan berakhir dengan 11 bawah par 277 untuk menewaskan seorang lagi pemain Texas, Jordan Spieth dengan margin sama.

“Ia di laman sendiri dan menyeronokkan. Anda boleh berasa kecintaan daripada rakan dan keluarga,” kata Walker. “Bukannya setiap hari anda boleh menang kejohanan di halaman sendiri.”

Ia kejayaan kedua Walker dalam Jelajah PGA AS musim ini selepas kemenangan kedua berturut-turut pada Terbuka Sony di Hawaii awal tahun ini selain menjuarai National Pro-Am Pebble Beach tahun lalu dan Terbuka Frys.com 2013.

Walker birdie lubang kedua dan lubang kelapan namun bogey pada lubang keempat dan ketujuh. Dia memulakan sembilan lubang terakhir dengan birdie dari jarak 16 kaki namun terlepas putt lima kaki untuk par pada lubang ke-12.

Walker menambah birdie 16 kaki pada lubang ke-16 par-tiga dan birdie 18 kaki pada lubang ke-17 par-empat, kemudian par lubang ke-18 bagi memastikan kemenangan, kelima buatnya dalam 37 kejohanan selepas beraksi sembilan tahun sebelum meraih kejuaraan sulungnya pada jelajah itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:43 AM