MANGSA yang ditemui anggota bomba. (Dalam bulatan) Kesan gigitan buaya di bahu kanan mangsa. FOTO ihsan bomba
MANGSA yang ditemui anggota bomba. (Dalam bulatan) Kesan gigitan buaya di bahu kanan mangsa. FOTO ihsan bomba
Oleh Norasikin Daineh

Kinabatangan: Mayat seorang lelaki yang hilang disyaki dibaham buaya ketika memancing bersama tiga rakan yang lain akhirnya ditemui terapung di Sungai Kinabatangan petang tadi.

Mangsa, Husin Arid, 40, ditemui kira-kira 3.30 petang tadi selepas hilang sejak semalam di sungai terbabit.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A‎ Sahak Rahmat berkata, mayat mangsa tiba-tiba timbul dipermukaan sungai kira-kira 24 meter dari tempat mangsa diserang.

"Operasi mencari mangsa dimulakan pada 9 pagi namun dihentikan pada tengah hari disebabkan hujan lebat di kawasan pencarian.

"‎Kira-kira jam 3.30 petang, tiba-tiba mayat timbul dan mangsa segera dibawa naik ke perahu," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan luaran didapati mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian bahu hingga lengan.

"Te‎rdapat sedikit luka di bahagian dada kanan mangsa yang disyaki akibat gigitan buaya. Bagaimanapun, mangsa masih dalam keadaan sempurna‎.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat‎," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 10:06 PM