PERLIS memiliki keindahan alam semulajadi yang mempesonakan.
PERLIS memiliki keindahan alam semulajadi yang mempesonakan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


SEBAGAI sebuah negeri yang terbentuk di bawah lembah banjaran batu kapur tertua di Malaysia, Perlis sememangnya menyimpan rahsia alam semula jadi yang tidak ternilai.

Ia turut digazetkan sebagai salah satu geopark baharu di negara ini. Sebuah Pertubuhan bukan kerajaan, Perlis Nature and Wildlife (PNW) baru-baru ini, berkunjung ke sebuah lokasi di dalam Hutan Simpan Bukit Bintang untuk melihat pembentukan tiang batu semula jadi hasil daripada hakisan hujan dan angin sejak ratusan juta tahun dahulu.

Inisiatif itu sempena Perca Kain Project bagi melihat sendiri pembentukan formasi batu kapur berkenaan yang dilihat seolah-olah seperti megalith Stonehenge yang terbentuk secara semula jadi.

Tiang stylolitic itu terletak di atas sebuah puncak permatang dan dikelilingi dusun buah-buahan yang berpotensi dijadikan sebagai tapak geopark untuk Perlis.

Menurut PNW, warisan geologi itu perlu dipelihara dan dijaga dari kerosakan. "Kawasan itu perlu dipelihara dan dikawal dengan memasang papan tanda bagi memberi maklumat kepada orang tempatan untuk saling menjaga khazanah alam semula jadi kita. "Perca Kain Project adalah projek terbaharu PNW dalam merekodkan gua-gua dan formasi batu kapur di seluruh Perlis," katanya.

Pulau Langkawi sebelum ini diisytiharkan sebagai sebuah Geopark oleh Global Geopark Network (GGN) yang bernaung bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1 Jun 2007.

PERCA Kain Project adalah projek terbaharu PNW dalam merekodkan gua-gua dan formasi.
PERCA Kain Project adalah projek terbaharu PNW dalam merekodkan gua-gua dan formasi.

Status itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian semula yang dilaksanakan setiap empat tahun, sekali gus meletakkannya sebagai Geopark pertama di rantau Asia Tenggara.

Pulau pelancongan itu berjaya mengekalkan status berkenaan untuk dua proses penilaian semula yang dijalankan pakar Geologi pada tahun 2011 dan 2015.

Sementara itu, Perlis antara tujuh rancangan geopark kebangsaan yang sedang difokus bagi mendapat pengiktirafan supaya dikenali di seluruh Malaysia.

Meskipun perancangan Perlis Geopark hanyalah berstatus geopark kebangsaan namun ia tetap mencabar kerana negeri itu dilihat kurang menerima kunjungan pelancong.

Begitu pun rakyat Perlis bertuah kerana negeri itu memiliki keindahan alam semula jadi yang mengagumkan dan ia semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong sejak kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 6:47 AM