Oleh Badrila Jamlus

Langkawi: Tiga syarikat gergasi aeroangkasa terkemuka dunia meneroka peluang untuk bekerjasama dengan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dalam rancangan mewujudkan kemudahan penyelenggaraan pesawat tempur mereka di negara ini.

Ia susulan kesediaan BAE Systems, Rafale International dan Boeing menyediakan pakej industri kepada kerajaan Malaysia jika cadangan menggantikan pesawat tempur MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan pesawat tempur keluaran masing-masing.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya Ahmad Ramli Mohd Nor berkata, ketiga-tiga syarikat itu sudah menyatakan hasrat untuk menjadikan BHIC sebagai rakan niaga yang menyelenggara pesawat mereka dan memberikan perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan.

Beliau berkata, kumpulan yakin mampu memenuhi keperluan itu berdasarkan keupayaan aset dan kepakaran tenaga kerja yang dimilikinya ketika ini.

“Walaupun operasi kami lebih kepada maritim, namun kami sebenarnya memiliki ramai jurutera berkelulusan aeroangkasa, ini akan memudahkan kami menyesuaikan operasi mengikut keperluan mereka.

“Jika dilaksanakan kelak, kumpulan mahu memiliki pegangan terbesar dalam usaha sama ini supaya dapat menentukan hala tujunya sesuai dengan pelan pertumbuhan kami,” katanya di LIMA’15, di Langkawi, semalam.

Beliau ditemui selepas majlis memeterai perjanjian pemilikan saham (SPA) dan usahasama (JVA) antara anak syarikatnya, BHIC Defence Technologies Sdn Bhd (BHICDT) dengan Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd (Airbus) yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Menerusi perjanjian itu, BHICDT akan memiliki 30 peratus pegangan dalam syarikat usaha sama, Airbus Helicopters Simulation Centre Sdn Bhd yang menyediakan perkhidmatan latihan simulator penerbangan helikopter di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:35 AM