Oleh Badrila Jamlus

Langkawi

Pelan Induk Aeroangkasa Kedua 2030 dirangka dengan komitmen tinggi kerajaan untuk memperkasakan lagi keupayaan peserta aeroangkasa termasuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bagi menyokong pertumbuhan industri itu menjelang 2030.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sepanjang 15 tahun pelaksanaan pelan induk itu, kerajaan mahu membangunkan lagi keupayaan peserta industri tempatan untuk terbabit dalam projek besar dan strategik.

Katanya, komitmen membangunkan kapasiti dan keupayaan mereka adalah elemen kritikal dalam menjayakan hasrat Malaysia menjadi negara industri aeroangkasa utama di Asia Tenggara menjelang 2030.

“Pelan induk ini dirangka untuk menjadi rancangan yang kukuh, dinamik dan sektor berteknologi tinggi dalam membantu melengkapkan kitaran sistem aeroangkasa dan aktiviti ekonomi berkaitannya di negara ini.

“Harapan kami adalah untuk membangunkan industri tempatan, kerana kita sudah ada beberapa peserta yang berjaya dan kami ingin meluaskan lagi peranan dan keupayaan mereka di peringkat global.

“Kami juga perlu memastikan syarikat asing yang akan beroperasi di sini memiliki rantaian dan hubungan kukuh dengan syarikat PKS di Malaysia,” katanya selepas perasmian pelan induk itu di Langkawi, semalam.

Pelan induk berkenaan sebelum itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika ucapan perasmian LIMA’15, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata sasaran sumbangan pendapatan RM32.5 bilion menjelang 2030 itu akan disumbangkan sama rata antara peserta tempatan dan global.

Katanya, dalam pelan induk itu, kerajaan tetap melihat keperluan meraih pelaburan asing ke Malaysia dan pada masa yang sama industri tempatan akan diperkasa bagi meningkatkan pelaburan domestik mereka.

“Kami menyasarkan dua sektor yang bakal menjadi penting dalam tempoh 15 tahun adalah pengilangan dan pembuatan peralatan kapal terbang; dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:18 AM