IBU BAPA digalakkan bersama anak ketika proses bermain bagi mewujudkan komunikasi dua hala.
IBU BAPA digalakkan bersama anak ketika proses bermain bagi mewujudkan komunikasi dua hala.
Siti Zarinah Sahib

Menjadikan kanak-kanak sihat dan bijak bukanlah bergantung kepada pemilihan makanan semata-mata sebaliknya ia gabungan pelbagai faktor.

Permainan adalah salah satu unsur penting yang turut membantu perkembangan kemahiran motor si kecil bagi memastikan keseimbangan fizikal dan emosi mereka.

Anak patung dan bongkah sesuai dijadikan alat merangsang perkembangan mental serta fizikal si comel secara keseluruhan. Ini kerana pergerakan ketika bermain membabitkan keseluruhan pancaindera dan anggota tubuh seperti mata, kaki serta tangan selain mewujudkan perasaan gembira.

Perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik Dr Yong Junina Fadzil menggalakkan ibu bapa memberikan blok binaan seawal usia setahun bagi membolehkan kanak-kanak meluaskan daya imaginasi dan mencipta apa saja bentuk yang mereka inginkan.

“Pada masa sama sambil bermain si kecil dapat menggunakan kemahiran memadankan blok, mengira dan mengasing mengikut warna.

“Secara tidak langsung pembelajaran berlaku ketika bermain apabila wujud komunikasi dua hala antara ibu dan anak. Ini sekali gus menjadikan proses belajar lebih ceria dan menyeronokkan,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya blok yang didatangkan dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna, dapat dimanipulasikan kanak-kanak sekali gus merangsang minda dan pembelajaran seawal usia.

Mereka bukan setakat belajar membina, malah memahami konsep keseimbangan, matematik, belajar mencipta sesuatu dan menyelesaikan masalah.

“Bermain blok dapat membina otot kecil seperti jari supaya menjadi lebih kuat. Aktiviti seperti mengutip benda kecil, memasukkan ke dalam lubang, menyusun, membina blok dapat mengaktifkan jari dan membantu mempercepatkan proses memegang pensel dengan betul.

“Mereka juga dilatih untuk berkomunikasi dengan kawan atau ibu bapa yang secara tidak langsung menambah kosa kata dan melatih anak bercakap apabila sampai waktunya.

“Berbeza sekiranya anak bermain tablet kerana ia membabitkan perhubungan sehala saja dan menyebabkan anak malas bercakap,” katanya.

Menyedari banyak kebaikan dengan bermain Dr Yong menggalakkan ibu bapa turut serta dalam permainan kerana mereka boleh saling membantu dan berkomunikasi antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga menjadi sangat rapat.

“Gabungan sesi membina blok sambil bercerita memacu kreativiti, kemahiran sosial dan bahasa mereka,” katanya ketika berkongsi pendapat dalam majlis pelancaran susu tepung rumusan Dutch Lady 123 dalam pek baru yang diadakan di Menara Kuala Lumpur,

Pasangan selebriti Scha Alyahya bersama anaknya, Lara Alana, juga duta jenama susu tepung rumusan kanak-kanak Dutch Lady menyatakan kegembiraan melihat perkembangan Lara yang semakin bijak dan sihat.

DARI kiri Scha, Tarang dan Ashlee ketika pelancaran pek baru susu tepung rumusan Dutch Lady 123.
DARI kiri Scha, Tarang dan Ashlee ketika pelancaran pek baru susu tepung rumusan Dutch Lady 123.

“Saya bersyukur dengan kebolehannya hari ini. Dia mampu menguruskan diri sendiri tanpa disuruh. Selain memberikan minuman susu berkhasiat untuk mendapatkan semua zat diperlukan kanak-kanak saya juga memastikan dia aktif bermain,” katanya.

Sebagai ibu berkerjaya Scha mengakui dia dan suami sering tiada di rumah. Namun dia sentiasa memastikan masa terluang digunakan untuk bermain blok binaan dengan Lara. Secara tidak langsung dia dapat berinteraksi dengan anaknya bagi menggalakkan perkembangan kreativiti Lara.

“Lara gemar membina kota dan kemudian akan bercerita mengenai putera dan puteri yang tinggal dalam kota itu. Dia pandai bercerita dan saya turut terpegun dengan daya imaginasi yang ditunjukkan,” katanya.

Sebagai keperluan memberikan tahap nutrisi lebih tinggi kepada kanak-kanak Dutch Lady Malaysia menawarkan tahap DHA (asid dokosaheksanoik) tertinggi dalam susu rumusan untuk kanak-kanak satu hingga tiga yang diperbaharui sebagai salah satu penambahbaikan kepada pengguna.

Berucap ketika majlis pelancaran, Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia Tarang Gupta berkata, sejak diasaskan 55 tahun lalu Dutch Lady komited memberikan nutrisi terbaik kepada kanak-kanak.

“Kami berbangga kerana menyediakan kandungan DHA tertinggi dalam setiap gelas susu rumusan Dutch Lady 123. Kami menyedari tahun awal usia kanak-kanak adalah tempoh perkembangan kognitif, emosi dan sosial mereka,” katanya.

Jelas Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia Ashlee Ng, 60 peratus daripada otak terdiri daripada lemak dan salah satunya adalah lemak DHA yang membantu perkembangan otak kanak-kanak.

“DHA diibaratkan seperti blok bangunan, ia sangat penting untuk tumbesaran kanak-kanak kerana ketika usia setahun ke atas perkembangan otak mereka sangat cepat. Mereka akan menyerap apa saja dipelajari ketika ini. Penting bagi ibu bapa menyediakan ruang untuk bermain bagi merangsang pemikiran menjadi lebih positif dan kreatif,” katanya.

Bagi kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun otak mereka berkembang pesat sehingga 90 peratus. Jadi peningkatan pengambilan DHA memberi manfaat kepada keupayaan kognitif dan tingkah laku anak-anak.

Walaupun DHA banyak terdapat dalam ikan berlemak, namun ia mungkin sukar diperoleh atau diberikan dalam diet harian mereka.

“Justeru dengan mengambil susu ia mampu menampung kekurangan protein dan mineral lain. Tambahan pula susu tepung rumusan ini mengandungi protein dan 20 jenis vitamin dan pelbagai mineral serta kurang sukrosa bagi mengekalkan berat badan yang ideal,” katanya.

Dutch Lady 123, Dutch Lady 456 dan Dutch Lady 6+ dengan 5x DHA boleh didapati di semua pasar raya besar dan kedai-kedai di seluruh negara.

MEMBINA blok binaan merangsang kemahiran motor si kecil.
MEMBINA blok binaan merangsang kemahiran motor si kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 7:00 AM