SUSPEK kes buli jalan raya di bawa ke Mahkamah Kuching. FOTO Che Rani Che Din
SUSPEK kes buli jalan raya di bawa ke Mahkamah Kuching. FOTO Che Rani Che Din
Oleh: Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Polis berjaya menahan tiga lelaki awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes buli jalan raya di Jalan Demak di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Entusa Imam berkata, tiga lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Bako di sini, pada 2 pagi tadi.

Katanya, lelaki yang ditahan berusia 21, 26 dan 27 tahun.

"Suspek direman selama empat hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

"Polis masih mengesan beberapa lelaki yang masih bebas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang semalam, seorang kontraktor berusia 46 tahun dibelasah dua lelaki menggunakan topi keledar.

Seorang daripada rakan suspek dipercayai merakam kejadian itu dan memuat naik video berdurasi 0.43 saat itu sehingga menjadi viral di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 4:39 PM