Kuala Lumpur: Usaha mempromosi dan memasarkan ASEAN sebagai destinasi pelancongan tunggal perlu dipergiatkan lagi bagi memacu pertumbuhan ekonomi dalam kalangan negara anggota.

Timbalan Naib Canselor Universiti Taylor, Dr Pradeep Nair berkata pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan di rantau ini perlu mencontohi sektor pelancongan Eropah, berikutan banyak negara rantau iru menduduki senarai teratas pelancongan global dari segi jumlah ketibaan pelancong.

“ASEAN perlu lebih giat dipasarkan sebagai destinasi pelancongan tunggal, seperti apa yang kita biasa lihat apabila pelancong Asia merancang percutian mereka ke Eropah,” katanya.

Bagi tujuan itu, beliau menggesa pihak berkepentingan seperti organisasi pelancongan kebangsaan, syarikat penerbangan, syarikat pelancongan dan penggembaraan serta pengusaha hotel negara ASEAN untuk saling bekerjasama menerusi perumusan dasar dan rangka kerja secara terperinci yang menyediakan platform sesuai bagi pertukaran idea dan pandangan.

Pelancongan antara ASEAN dapat dipertingkatkan lagi dengan memperkenalkan langkah seperti menawarkan lebih banyak pakej rentas sempadan, kata Pradeep.

Pradeed adalah tokoh pertama dari Asia dilantik sebagai felo Pusat Kecemerlangan Pendidikan Pelancongan dan Hospitaliti Antarabangsa (THE-ICE),

THE-ICE adalah badan akreditasi antarabangsa bagi kursus hospitaliti dan pelancongan berpangkalan di Australia.

Bagi Malaysia, ia telah mengambil inisiatif untuk membangunkan saluran TV pelancongan khusus untuk ASEAN - GOASEAN - bagi mempromosikan ASEAN sebagai destinasi pelancongan tunggal.

Ia merangkumi bidang penting seperti pelancongan alam semulajadi, pelancongan kebudayaan dan warisan, keseronokan bersama-sama keluarga dan pelancongan perniagaan.

Untuk menyokong pertumbuhan pelancongan ASEAN, Pradeep berkata penyelidikan pelancongan dan perkongsian kepakaran di rantau ini adalah penting.

Sehubungan itu, katanya Persatuan Penyelidikan Pelancongan ASEAN, yang beliau merupakan presidennya sejak 2013, boleh berperanan sebagai pusat sehenti bagi penyelidikan dan pendidikan pelancongan.

Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN yang ke-18 di Nay Pyi Taw, Myanmar pada Januari lepas menyatakan angka awal menunjukkan 97.2 juta pelancong antarabangsa melawat negara-negara ASEAN pada 2014, meningkat tiga peratus daripada 2013. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 9:24 PM