KUMPULAN orkestra cacat penglihatan pertama di Thailand bangga dapat buat persembahan sendiri.
KUMPULAN orkestra cacat penglihatan pertama di Thailand bangga dapat buat persembahan sendiri.
KETEKUNAN dan kesungguhan membolehkan pemuzik cacat penglihatan bermain alat muzik dengan baik.
KETEKUNAN dan kesungguhan membolehkan pemuzik cacat penglihatan bermain alat muzik dengan baik.
KANAK-KANAK cacat penglihatan dianugerahkan kebolehan bermain alat muzik.
KANAK-KANAK cacat penglihatan dianugerahkan kebolehan bermain alat muzik.
KANAK-KANAK turut diajar menyayangi haiwan.
KANAK-KANAK turut diajar menyayangi haiwan.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Sambil meraba-raba lekukan nota muzik braille, pasukan orkestra muda cacat penglihatan yang pertama di Thailand bangga dapat membuktikan mereka juga sebenarnya setanding dengan orang lain. Malah keupayaan istimewa itu memadamkan tanggapan negatif yang dilemparkan masyarakat kepada golongan cacat selama ini.

Dalam sesi latihan beberapa jam sebelum konsert yang diadakan di auditorium terbuka di taman negara, kira-kira 30 pemuzik istimewa dengan tekun memainkan alat muzik yang kelihatan mesra di tangan mereka biarpun tidak pernah melihatnya.

“Mulanya memang sangat sukar...saya hampir putus asa,” kata Joe, 14, pemain celo yang mula berkenalan dengan alat muzik bertali itu sembilan bulan lalu.

“Tetapi apabila saya menyedari orang lain boleh buat, saya katakan pada diri sendiri, kena cuba sekali lagi,” sambungnya sambil tersenyum lebar.

Data rasmi menunjukkan Thailand yang mempunyai 64 juta penduduk menjadi rumah kepada 1.8 juta orang kelainan upaya (OKU) dan 180,000 daripadanya cacat penglihatan.

Walaupun jumlah penduduk OKU agak besar, tetapi aktivis berkata bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan ini masih amat sedikit, apatah lagi dengan adanya kepercayaan Buddha yang mengatakan bahawa kecacatan dialami seseorang itu disebabkan ‘perlakuan buruknya’ dalam hayat lepas.

Orkestra Cacat Penglihatan Thailand itu, dianggotai pemuzik kecil berumur antara lapan hingga 15 tahun yang mengalami pelbagai jenis kecacatan. Kumpulan orkestra berkenaan menggunakan alat muzik yang didermakan badan tertentu dan mereka disatukan oleh pemuzik klasik profesional.

Latar belakang pemuzik klasik profesional itu menarik kerana pada waktu siang dia bekerja menjaga gajah di taman negara Khao Yai di timur laut wilayah Nakhon Ratchasima dan hanya bermain muzik pada sebelah malam.

Ilham untuk menubuhkan kumpulan orkestra itu tercetus apabila pelajar cacat penglihatan berjumpa dengan Alongkot Chukaew yang bakal menjadi maestro di kelasnya di taman negara berkenaan.

Dengan bantuan alat pendengaran dan gitarnya, pemuzik berusia 43 tahun itu mendapati alunan muzik mampu menarik perhatian dan tumpuan kanak-kanak berkenaan.

Dia meminta guru muziknya memainkan beberapa alat muzik berbeza dan menyuruh kanak-kanak cacat penglihatan itu mengikut bunyi yang mereka suka.

Apabila didapati adanya jalinan hubungan antara pelajar dengan alat muzik pilihan mereka, barulah Alongkot memperkenalkan sistem braille supaya pelajarnya dapat membaca nota muzik klasik. Ini bagi membolehkan mereka bermain dengan lebih baik.

Seorang demi seorang ditunjukkan cara meletakkan jari mereka pada alat muzik masing-masing. Ternyata, keazaman dan semangat yang ditunjukkan sangat mengagumkan. Pelajar cacat penglihatan itu tekun menghafal nota dan kedudukan jari untuk mendapat bunyi yang betul.

“Saya akui mengajar kanak-kanak ini memang agak sukar dan mencabar kerana mereka tidak boleh melihat demonstrasi di mana hendak meletakkan jari dan cara memegang kayu penggesek. Namun dalam kesukaran ini ada seronoknya. Apatah lagi apabila melihat akhir­nya mereka dapat melakukan dengan betul.

“Sesetengah orang mungkin tidak suka persembahan mereka tetapi itu tidak jadi masalah. Apa yang penting kanak-kanak ini gembira dan seronok apabila bermain muzik,” kata Alongkot yang mengakui setakat ini dia tidak bercadang memasukkan orkestra itu dalam sebarang pertandingan.

Walaupun dunia sudah semakin moden, tetapi penerimaan masyarakat terhadap golongan OKU masih di tahap kurang memuaskan kerana ramai percaya kecacatan itu disebabkan takdir yang berlandaskan corak seseorang kehidupan pada hayat lepas.

Dari satu sudut, falsafah atau fahaman ini secara tidak langsung menggalakkan seseorang untuk melakukan kebaikan supaya mereka akan diberi balasan baik apabila ‘dijelmakan semula’ kepada individu baru pada hayat akan datang. Namun pada masa sama ia juga membuatkan ada pihak percaya kecacatan itu berlaku kerana cara hidup seseorang yang kurang baik pada hayat lalu.

Kepercayaan ini jugalah yang menyebabkan polisi untuk menjaga kebajikan golongan cacat di Thailand masih di takuk lama dan mereka terus hidup dalam kemiskinan. Malah tidak sedikit keluarga yang menyorokkan anak cacat di rumah untuk menutup malu.

“Golongan cacat adalah kumpulan paling miskin dalam kalangan orang miskin.

“Kepercayaan kepada hukum takdir membuatkan orang cacat beranggapan bahawa mereka perlu berserah kepada nasib semata-mata,” kata Suporntum Mong­kolsawadi, yang kudung kedua-dua belah kaki sejak dilahirkan dan kini menjadi aktivis memperjuangkan hak OKU.

Ramai aktivis melihat negara lain seperti Malaysia, Singapura dan Filipina mempunyai rekod yang lebih baik dalam membuat polisi dan memberikan bantuan kepada OKU.

Suporntum yang juga ketua Yayasan Pembelaan bagi Orang Kelainan Upaya berkata ada beberapa faktor seperti ketidakstabilan politik dan pembentukan kerajaan yang tidak bertahan lama menjadi penghalang kepada penambahbaikan polisi untuk OKU khususnya dari segi perkhidmatan pengangkutan, pendidikan dan kesihatan.

Walaupun undang-undang menyatakan kesaksamaan hak untuk semua orang tanpa mengira keadaan fizikal namun hakikatnya tidak seindah seperti catatan di atas kertas. Kebanyakan kenderaan awam masih tiada akses untuk kerusi roda, hanya beberapa pejabat kerajaan yang ada lantai tanjakan (bagi laluan kerusi roda), tiada tanda arah dalam braille dan sangat sedikit arahan suara bagi memudahkan pergerakan golongan cacat penglihatan.

Peluang pekerjaan juga amat terhad sedangkan kecaman dan penghinaan daripada masyarakat terhadap golongan ini tidak pernah surut.

Bagaimanapun Suporntum melihat sinar positif dalam keadaan politik negara itu sekarang. Ini kerana pemerintah sekarang dilihat berupaya membawa perubahan selepas berjanji membentuk masyarakat yang tersusun dan memberi hak sama rata kepada semua seperti termaktub dalam agenda reformasinya.

Pada Januari lalu, mahkamah di Bangkok mengarahkan supaya lif disediakan di 19 stesen kereta api laluan atas dalam tempoh setahun daripada hanya empat seperti yang ada sekarang kemudahan yang diperjuangkan oleh Suporntum sejak lapan tahun lalu.

Tapi untuk melihat perubahan besar, Thailand perlu membetulkan tanggapan terhadap kecacatan, kata Rosalina Alexander McKay, aktivis dari Rainbow Room Foundation di Bangkok.

“Kita tidak perlu menukar sistem kepercayaan tetapi ubah cara kita melihat satu-satu perkara itu,” tambahnya yang mempunyai anak Sindrom Down berusia tujuh tahun.

Ketika sukarelawan yang mengetuai orkestra menuju ke tempat duduk masing-masing, pemain celo, Joe memberitahu dia tidak mahu ketinggalan dan terus dibelenggu oleh kepercayaan masyarakat.

“Ya, saya tidak boleh melihat tetapi saya dikurniakan dengan telinga yang peka...dan itulah anugerah yang membolehkan saya bermain muzik.

“Apabila kita kehilangan sesuatu, pasti kita akan diberikan yang lain sebagai pengganti,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:03 AM