Nazdy Harun

Kuala Nerus: Memiliki empat unit mesin pencetak Braille jenis Embosser membolehkan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu mensasarkan dapat mengeluarkan lebih banyak bahan ilmiah kepada golongan cacat penglihatan.

Pengerusinya, Mohd Fauzi Mansor, 52, berkata, empat unit mesin itu disumbangkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan kerajaan negeri bernilai lebih RM100,000 amat bermanfaat buat golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

Menurutnya, Pertis Wilayah Terengganu merupakan satu-satunya persatuan cacat penglihatan di Pantai Timur yang memiliki mesin pencetak Braille berkenaan.

"Dengan adanya mesin pencetak itu, Pertis Wilayah Terengganu dapat membantu memperbanyakkan bahan cetakan dalam bentuk Braille bagi kemudahan untuk digunakan golongan sasar.

"Mesin ini dikendalikan Koperasi Pertis Wilayah Terengganu dan secara tidak langsung ia bakal membuka peluang pekerjaan kepada golongan cacat penglihatan yang akan mengendalikannya nanti," katanya.

Menurutnya, umum mengetahui golongan OKU cacat penglihatan sememangnya sukar untuk mencari pekerjaan oleh itu, pihaknya akan melatih golongan berkenaan untuk menguruskan penggunaan mesin terbabit.

Fauzi berkata, tujuh pelatih akan dipilih sebagai pilot projek dan akan melaksanakan tugas antaranya di bahagian penulisan, pencetakan dan penjualan.

"Menjadi hasrat kita (Pertis Wilayah Terengganu) untuk menjadi sokongan kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Kuala Lumpur yang lebih awal mempunyai mesin berkenaan.

"Mereka suah mempunyai 10 unit mesin berkenaan dan difahamkan mereka tidak menang tangan untuk mencetak bahan-bahan Braille," katanya.

Justeru, besar harapan kita dengan adanya mesin berkenaan ia dapat dimanfaatkan untuk tujuan terbitan pelbagai jenis buku terutama buku-buku ilmiah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 3:57 PM
Seorang OKU cacat penglihatan sedang mengendali mesin pencetak braille jenis Embosser, milik Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu. FOTO NAZDY HARUN
Seorang OKU cacat penglihatan sedang mengendali mesin pencetak braille jenis Embosser, milik Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu. FOTO NAZDY HARUN