Cabaran penuntut OKU penglihatan kekurangan sumber bacaan dalam bentuk Braille.
Cabaran penuntut OKU penglihatan kekurangan sumber bacaan dalam bentuk Braille.
Oleh Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Bahan bacaan berbentuk akademik untuk penuntut berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hampir tidak wujud melainkan penuntut sendiri mengalihkan ia kepada bentuk Braille.

Pada masa sama, bahan bacaan untuk golongan berkenaan juga amat sedikit yang mana kurang satu peratus daripada bahan rujukan dialih ke tulisan Braille.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ts Dr Shaharil Mad Saad berkata, kekurangan bahan rujukan dalam tulisan Braille itu menyebabkan akses penuntut OKU berkenaan terhadap bahan akademik menjadi terhad.

"Kerana itu, ada penuntut mengalihkan bahan rujukan akademik itu kepada bentuk Braille.

"Hal ini seperti kurang wajar kerana penuntut normal mempunyai akses kepada bahan akademik, namun tidak bagi OKU penglihatan," katanya.

Menurut Shaharil, walaupun jumlah penuntut OKU penglihatan yang menyambung pengajian di IPTA tidak ramai, mereka juga berhak mendapatkan rujukan akademik, sama seperti penuntut lain.

"Berdasarkan rekod, pada 2021, 77 penuntut OKU penglihatan mendaftar di 14 IPTA manakala pada 2020, ia 93 pelajar.

"Sudah pasti mereka memerlukan sumber rujukan akademik sama seperti penuntut normal, jadi saya berpandangan rujukan dalam bentuk Braille wajar diperbanyakkan," katanya.

Difahamkan, antara faktor menyebabkan bahan akademik dalam bentuk tulisan Braille terhad disebabkan kekurangan pakar yang boleh menerbitkan penulisan atau rujukan dalam bentuk Braille selain kos penghasilannya tinggi.

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Ahmad Shamsuri Muhamad.
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Ahmad Shamsuri Muhamad.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Ahmad Shamsuri Muhamad berpendapat, isu bahan bacaan untuk penuntut OKU penglihatan tidak menjadi masalah kerana mereka ada inisiatif sendiri mengubah bahan bacaan kepada bentuk Braille.

"Namun masalah lain yang perlu jadi tumpuan ialah ketiadaan tenaga pengajar berpengalaman serta kursus yang ditawarkan di universiti tidak mesra OKU.

"Banyak kursus ditawarkan di IPTA namun golongan OKU tidak dapat membuat banyak pilihan kerana IPTA tidak bersedia menerima serta memenuhi keperluan mereka," katanya.

Ahmad Shamsuri berkata, sebahagian besar penuntut OKU penglihatan mengambil aliran sastera berikutan pilihan terhad ditawarkan pihak IPTA.

"Berbeza di negara maju, umpamanya di Jepun, pendedahan dalam jurusan sains dan matematik diberikan sejak sekolah menyebabkan golongan OKU mampu membuat banyak pilihan apabila masuk ke alam universiti," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Unit Braille Media Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia berkata, teknologi sedia ada di Malaysia setanding negara luar, namun keterbukaan itu masih kurang.

"Sebelum ini, mesin Braille konvensional berat dan sukar dibawa. Namun kini, kita dapat lihat inovasi dalam bidang teknologi apabila wujudnya eBraille yang boleh dimasukkan memori kad sekali gus memudahkan golongan OKU.

"Penggunaan Braille semakin kurang kerana kewujudan e-book, tetapi tulisan Braille diperlukan untuk mengajar dan ketika membuat pembentangan. Golongan ini boleh menggunakan komputer riba, namun jika mereka mendapat akses panel Braille, itu lebih bagus.

"Kepakaran dan kewangan turut diperlukan untuk memberi akses dan menambah lagi bahan bacaan kepada OKU penglihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 7:01 AM