Apabila primadona alaf baru, Erra Fazira baru-baru ini mengaku berkawan rapat dengan seseorang tetapi tidak dinyatakan siapa, bintang AF, Shahir antara nama yang disebut-sebut.

Bagi Cik Pang, ia bukan cerita baru kerana sebelum ini mereka pernah dikaitkan bercinta, tetapi cerita itu berhenti setakat itu saja apabila Erra menyatakan dia hanya mengenali Shahir sebagai kawan sesama artis.

Kemudian timbul pula cerita Erra kini mengenali ahli perniagaan. Perkara itu diakui Erra tetapi ia tidak sampai bercinta. Namun tiada jodoh, mereka kekal berkawan hingga kini.

Cerita cinta antara Erra dan Shahir mula dibangkitkan kembali. Apabila Erra bermain teka-teki, ramai cuba mencari jawapan. Namun apabila ditanya lanjut, Erra dikatakan tidak mahu buka mulut. Maka timbullah telahan yang Erra kini kembali menyambung cinta dengan Shahir yang terputus sebelum ini.

Mengenali Erra, dia biasanya tidak akan berahsia dengan peminat, cuma soal cinta terbarunya ini dia tidak mahu terburu-buru untuk memberi kenyataan.

Mungkin dia merasakan biar perkara itu benar-benar ada ketentuannya. Maksudnya, lelaki yang berjaya memenangi hatinya itu benar-benar serius.

Maklumlah, wanita yang matang seperti Erra tidak mahu lagi isu cinta yang tidak ada ketentuan itu diperbesar-besarkan. Bimbang nanti apa pula tanggapan peminat.

Namun percayalah, apabila tiba masanya dan satu kata putus dicapai, pasti dia akan tampil dan berkongsi berita gembira itu dengan peminat dan teman media. Cik Pang tunggu berita gembira dari mulut Erra sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:08 AM