BARISAN finalis Projek Radio Hot FM.
BARISAN finalis Projek Radio Hot FM.
PESERTA membuat rakaman di studio.
PESERTA membuat rakaman di studio.
 SESI rakaman video untuk promosi Projek Radio Hot FM.
SESI rakaman video untuk promosi Projek Radio Hot FM.
Oleh Michelle Gun

Selepas mengadakan sesi uji bakat yang dihadiri seramai 334 peserta pada 29 September lalu, Hot FM mengumumkan 10 finalis yang bakal berentap merebut gelaran juara untuk melayaknya menjadi penyampai stesen radio itu.

Nama finalis Projek Radio sudah pun diumumkan pada segmen AM Krew Hot FM pada Isnin lalu.

Bermatlamat mencari bakat dan pelapis baru dalam industri, projek ini menawarkan kontrak sebagai penyampai radio Hot FM serta tunai sebanyak RM10,000 kepada juara.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima wang sebanyak RM5,000 dan RM3,000 selain peluang untuk menyertai Rangkaian Radio Media Prima.

Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim berkata, pihaknya menerima hampir 1,000 penyertaan untuk uji bakat khas itu.

"Pendengar dipelawa untuk menghantar penyertaan menerusi aplikasi WhatsApp, laman web rasmi Hot FM dan secara siaran langsung.

"Bagi penyertaan WhatsApp, pendengar perlu menghantar pesanan nota suara untuk dinilai. Manakala uji bakat secara langsung dilakukan menerusi peraduan Mini Projek Radio," katanya.

Anida berkata, objektif Projek Radio adalah bagi mencungkil bakat baru dalam bidang penyiaran radio serta mencari pelapis baru.

"Biarpun juara program ini bakal mengikat kontrak dengan Hot FM, peluang sama juga akan diberikan kepada peserta lain yang mempunyai potensi.

"Mungkin bukan di stesen radio sahaja dan kecenderungan mereka diserap atau diperkenalkan kepada umum juga tinggi menerusi pelbagai platform di bawah Media Prima," katanya.

Menurutnya, ada di antara finalis Projek Radio sudah mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan.

"Bukan mudah untuk memilih peserta yang terbaik kerana ramai yang hadir sesi uji bakat mempunyai bakat unik dan menepati cita rasa kami," katanya.

Jelasnya, finalis akan dilatih untuk ke udara selain diberi tugasan mencabarkan pada setiap minggu.

"Mereka juga perlu menghadiri kelas bagi memantapkan lagi skil penyampaian mereka. Pemenang di setiap cabaran juga akan membawap pulang hadiah menarik," katanya.

Dalam pada itu, Anida berharap finalis Projek Radio dapat memberi persembahan jauh lebih baik daripada sesi uji bakat menerusi ilmu serta bimbingan pengajar.

Finalis Projek Radio, Syarifah Nur Farhana Syed Talib (Ann), Muhammad Farid Mohd Johari (Ayed), Mohd Sufianuramri Abdul Rahman (Ean), Mohd Falyq Hikyle Mohd Fuad (Falyq) dan Muhammad Hafiz Bin Ismail (Hafiz).

Peserta lain termasuk Muhammad Noriman Mustafa All Bakry (Iman), Kamarul Ariffin Othman (Kay), Nurliyana Mohd Said (Liyana), Puteri Nadia Muhammad Zakli (Nad) dan Tun Nadia Aminuddin (Tun Nadia).

Ikuti perkembangan setiap finalis Projek Radio menerusi akaun Twitter dan Facebook mereka serta di laman web www.hotfm.com.my

Saksikan juga diari Projek Radio di Hot TV di TV9, pada setiap Ahad, jam 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:01 AM