TUN Nadia (tengah), Ann dan Falyq raih kejayaan manis.
TUN Nadia (tengah), Ann dan Falyq raih kejayaan manis.
Oleh Michelle Gun

Bekas penyampai radio RTM, Tun Nadia Aminuddin, 29, berjaya memenangi pencarian bakat Projek Radio Hot FM yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.

Kejayaan itu melayakkan Nadia yang berasal dari Ipoh membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta kontrak khidmat bersama Hot FM.

Tempat kedua disandang Syarifah Nur Farhana Syed Talib (Ann), 25, dari Kuantan yang menerima wang tunai RM5,000.

Tempat ketiga pula diraih anak jati Kuala Lumpur, Mohd Falyq Hikyle Mohd Fuad, 25, dengan wang tunai RM3,000.

Selain pemenang, peserta lain yang turut berjaya ke final adalah Puteri Nadia Muhammad Zakli (Nad), Mohd Sufianuramri Abdul Rahman (Ean) dan Muhammad Farid Mohd Johari (Ayed).

Mengulas mengenai kejayaan itu, Tun Nadia mengakui terkejut dinobatkan juara kerana menyangka Falyq akan menang.

"Masih sukar mempercayai saya menang pertandingan ini kerana Falyq memiliki bakat dan personaliti menarik.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan di atas sokongan mereka sepanjang empat minggu menyertai program ini," katanya.

Mempunyai pengalaman tujuh tahun dalam bidang radio, Tun Nadia berhasrat untuk memperkenalkan program menyeronokkan bagi mendekatkan diri dengan pendengar.

"Mengenai wang kemenangan pula, saya mahu menggunakannya untuk perbelanjaan percutian manakala selebihnya dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji ibu.

"Dengan wang itu, saya berharap hasrat ibu ke Makkah dapat ditunaikan pada tahun depan," katanya.

Terdahulu, finalis dikehendaki menyiapkan tiga tugasan iatu 'Talk Set', menemu bual artis popular serta sesi soal jawab dengan pihak juri.

Barisan juri yang menilai finalis adalah Ketua Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul, Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil serta pelakon Yana Samsuddin.

Peringkat akhir Projek Radio ke udara secara langsung menerusi Hot FM dan saluran 8TV selama tiga jam mulai 7 pagi.

Acara itu dihoskan penyampai Hot FM, Farah Fauzana, AG dan Fizi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:02 AM