Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Finalis Projek Radio diberi kejutan istimewa oleh Hot FM dengan kehadiran selebriti popular seperti Nora Danish, Farid Kamil, Krisdayanti dan Tengku Adil.

Mereka sudi meluangkan sedikit masa untuk hadir ke sesi latihan bagi membakar lagi semangat finalis Projek Radio bagi meneruskan perjuangan mereka.

Minggu pertama minggu penuh debaran buat Ean, Hafiz dan Liyana kerana ditempatkan di kedudukan tiga terbawah berdasarkan cabaran yang diberikan.

Akan tetapi, mereka berasa lega kerana pihak Hot FM memutuskan untuk tidak membuat penyingkiran dan mereka berjaya untuk mara ke minggu seterusnya.

Minggu lalu, daya kreativiti mereka dicabar untuk membuat Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) atas bimbingan peyampai berita, Jay Jamalina. Meskipun tidak memiliki pengalaman membuat PSA untuk radio, Hafiz berjaya merangkul gelaran juara bagi cabaran minggu ini.

Selain itu, mereka juga diberi tugasan ke udara bersama Leya, Liza, Deen dan Haziq mengikut jadual yang disediakan oleh Hot FM.

Sepanjang minggu kedua, ada finalis yang mengalirkan air mata ketika membuat sesi luahan perasaan di dalam bilik pengakuan dan ada juga yang kelihatan gembira dan terharu kerana impian mereka untuk menjadi penyampai Hot FM semakin hampir.

Keputusan penyingkiran yang dibuat menyaksikan Falyq, Liyana dan Ayed dipilih untuk sesi penyingkiran. Nasib tidak menyebelahi Liyana yang diumumkan terkeluar sekali gus menamatkan cabarannya untuk mara ke minggu berikutnya.

Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima Anida Mohd Tahrim berkata, pihaknya sukar membuat keputusan kerana melihat semua peserta mempunyai kekuatan tersendiri.

"Bukan mudah nak buat keputusan kerana semuanya bagus-bagus. Namun, nasib tidak berpihak pada Liyana yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal terhadap program ini.

"Harapan kami untuk minggu seterusnya adalah mereka ini dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik lagi dan seterusnya memanfaatkan segala ilmu yang mereka pelajari," katanya.

Peminat boleh mengikuti diari Projek Radio di Hot TV setiap hari Ahad jam 7 malam di TV9 serta pendengar boleh mengundi peserta kegemaran mereka di laman web rasmi Hot FM, www.hotfm.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:00 AM