Nor Farhani Che Ad


LELAKI melecur di muka dan tangan selepas disambar api ketika cuba membuka tali yang menambat bot nelayan di Jeti Semeling, Sungai Petani, 1.40 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, dua bot nelayan terbakar dan mangsa berusia 20 tahun dikatakan mahu melepaskannya ke tengah sungai bagi mengelak api merebak.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 1.43 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani tiba di lokasi jam 1.50 pagi dan mendapati dua bot nelayan yang ditambat di jeti terbakar.

“Orang awam bertindak melepaskan ikatan bot yang ditambat dan hanyutkan ke tengah sungai supaya untuk mengelak kebakaran merebak.

“Seorang mangsa cedera dalam cubaan itu. Mangsa melecur di tangan dan muka dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan lanjut,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua bot berkenaan masing-masing musnah sebanyak 80 dan 60 peratus.

“Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 10:18 AM
DUA bot yang terbakar dilepaskan ke tengah sungai. FOTO Ihsan bomba.
DUA bot yang terbakar dilepaskan ke tengah sungai. FOTO Ihsan bomba.