ANGGOTA bomba sedang memadam kebakaran. FOTO IHSAN JBPM
ANGGOTA bomba sedang memadam kebakaran. FOTO IHSAN JBPM
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Dua lelaki sempat merangkak keluar dari dalam kereta yang terbakar selepas kenderaan dinaiki terbabas berhampiran Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini.

Mangsa yang melecur itu kemudian diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Ketua Operasi Israhanafi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.23 pagi tadi.

Katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

"Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta mewah model Mercedes berada dalam keadaan terbalik akibat terbabas dan terbakar.

"Dua lelaki dilihat merangkak keluar dari dalam kenderaan itu. Mangsa yang melecur segera diberi rawatan kecemasan," katanya.

Menurutnya, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai dipandu dari arah Georgetown menghala ke Jambatan Pulau Pinang sebelum hilang kawalan.

Katanya, kereta yang dinaiki dua mangsa terbabit kemudian terbabas ke kiri jalan dan merempuh tiang lampu sebelum kenderaan itu terbakar.

"Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit bagi memadamkan sepenuhnya api yang marak. Mangsa yang mengalami luka pada tangan dan kaki itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 5:09 PM