Kuala Berang: Berbaki empat peringkat perlumbaan LTdL 2015, skuad kebangsaan yang diketuai Suhardi Hassan dilihat masih belum menyerlah.

Kombinasi pelumba baru dan berpengalaman ditampilkan pada edisi ke-20 kali ini menyaksikan mereka belum mampu memberikan ancaman kepada 21 pasukan lain.

“Saya harap rakan sepasukan tidak mudah putus asa. Teruskan usaha terutamanya dalam membaiki kedudukan pasukan agar tidak tercorot,” kata Suhardi.

Skuad kebangsaan kini berada pada kedudukan ke-19 daripada 22 pasukan bertanding.

“Kami berpeluang membaiki kedudukan pada peringkat ketujuh ke Bukit Fraser pada Sabtu. Esok (hari ini), kami akan cuba melakukan pemecahan dan memburu mata di zon pecut.

“Ketika pendakian ke Bukit Fraser, kami akan cuba memberikan yang terbaik dan sekurang-kurangnya membuktikan mampu memberikan cabaran kepada pelumba lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:28 AM