SAMSUNG Galaxy Note Edge
SAMSUNG Galaxy Note Edge
Oleh Afiq Hanif


Samsung Electronics antara syarikat awal yang memperkenalkan konsep lengkung di tepi skrin dan Note Edge menjadi eksperimen pertama dihasilkan dengan satu lengkungan di sebelah kiri telefon terbabit.

Skrin rata pada Note Edge sebesar 5.6 inci dengan resolusi Quad HD (2560 x 1440) menggunakan paparan Super AMOLED keluaran Samsung sendiri yang menghasilkan warna mewah dan memberangsangkan.

Ia ditambah lagi 160ppi dalam bentuk melengkung, yang memberi keunikan padanya, tidak terdapat pada telefon pintar lain.

Sekali gus, skrin lengkung pada Note Edge memberikannya banyak fungsi tambahan, namun paling mencuri tumpuan, ia boleh berfungsi tanpa menghidupkan skrin utama.

Walaupun saiznya yang kecil di tepi, banyak maklumat dan notifikasi boleh dipaparkan di skrin lengkung ini malah, terdapat permainan yang boleh dimainkan pada skrin memanjang terbabit.

Jika skrin utama hidup, anda menggunakan skrin lengkung untuk

tujuan lain.

Secara kebiasaan, ia berfungsi sama seperti bar notifikasi Android di atas skrin tetapi jika anda sedang menggunakan aplikasi intensif seperti navigasi GPS, skrin lengkung ini akan menjadi skrin kedua yang berfungsi sebagai notifikasi seperti panggilan masuk.

Paparan tepi tidak mengganggu paparan skrin utama.

Ia pasti banyak membantu pemandu yang sedang menggunakan Waze tidak hilang fokus jika terdapat panggilan masuk yang mematikan navigasi Waze untuk memberi laluan kepada panggilan.

Ciri lain pada Note Edge menyamai Galaxy Note 4 seperti penggunaan S-Pen memberi lebih fungsi kepada pengguna yang gemar mencoret nota.

Malah, ia juga memudahkan pengambilan nota terus dari skrin seperti membuat salinan pada bahagian tertentu pelayar, memotong muka anda pada gambar seterusnya menggabungkan dengan gambar lain yang mana sukar untuk dilakukan dengan menggunakan jari sahaja.

Galaxy Note Edge dilengkapi kamera belakang 16MP dengan penstabil imej OIS serta mampu merakam video sehingga resolusi 4K.

Manakala kamera depannya 3.7MP dilengkapi dengan mod ‘Wide-Selfie’ merakam sudut lebih luas bagi selfie berkumpulan.

Selain itu, Note Edge juga mempunyai fungsi pengecasan pantas bagi memastikan tempoh cas penuh me­ngambil masa kurang dari kebiasaan.

Dalam ujian IT@Metro, ia boleh penuh dalam tempoh kurang satu jam.

Namun dengan harga yang ditetapkan Samsung Malaysia sebanyak RM2,999 untuk seunit telefon pintar ini, ia mungkin sukar untuk dimiliki jika anda mempunyai bajet yang ketat.

INFO

Samsung Galaxy Note Edge

- Pengeluar: Samsung

- Laman Web: www.samsung.com.my

- Ciri: Telefon pintar melengkung

- Pro: Fungsi notifikasi

- Kontra: Harga agak mahal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 11:28 AM