SAMSUNG GALAXY S6 EDGE
SAMSUNG GALAXY S6 EDGE
Oleh Afiq Hanif


Selepas puas mencuba Samsung Galaxy S6 sebelum ini, penguji mengalih arah kepada abangnya iaitu S6 edge. Sesuai dengan namanya, sudah pasti Samsung memperkenalkan dua lengkung di kiri dan kanan telefon pintar terbabit.

Apa gunanya skrin lengkung terbabit? Penguji menjumpai beberapa ciri yang sesuai bagi dipadankan dengan S6 edge.

Antaranya, ciri Edge Lighting yang menjadikan lengkungan terbabit berkelip cahaya jika telefon berada dalam kedudukan skrin ke bawah ketika panggilan diterima iaitu warna cahaya terbabit boleh ditetapkan mengikut nombor tertentu.

Pada masa sama, skrin lengkung memaparkan beberapa berita terpilih tanpa menghidupkan skrin utama termasuk sukan, pasaran saham, ‘trending Twitter’ dan RSS Feed.

Di samping itu, penguji tertarik dengan jam ‘Night Clock’ yang membolehkan paparan waktu dan tarikh di skrin lengkung seakan-akan jam di meja sebelah katil.

Satu lagi fungsi yang hebat termasuklah menetapkan lima kenalan yang boleh dihubungi terus tanpa perlu membuka Phonebook dengan setiap seorang boleh ditandakan dengan warna tersendiri.

Penguji mendapati fungsi ini tiada dalam Samsung Galaxy Note Edge iaitu produk lengkung pertama syarikat Korea terbabit.

Sudah pasti kecantikan dan keanggunan S6 edge disokong rekaannya yang sangat menakjubkan. Ia kini menggunakan kerangka besi sebenar yang diselaputi gelas Corning Gorilla Glass 4.

Jika anda memegangnya buat pertama kali mungkin terasa kekok dengan kehadiran skrin lengkung di kedua-dua belah dan jika ada yang bertanya sama ada pegangan boleh mengakibatkan skrin lengkung aktif? Penguji menjawab, ‘ya’ tetapi tidak serius.

Meskipun dengan skrin yang aktif, penggunaan bateri 2600mAh bukanlah sesuatu yang rendah memandangkan CPU jenis 14nm serta beberapa teknologi terkini membantu merendahkan penggunaannya.

S6 edge juga tidak terkecuali dengan pengimbas cap jari di atas butang fizikal Home. Kali ini, ia berbeza daripada pengimbas cap jari pada peranti Galaxy sebelum ini apabila anda hanya perlu menyentuh untuk meng­aktifkannya dan tidak sekadar leret seperti sebelum ini.

Dari aspek dalaman, ia seakan-akan meninggalkan pencabar jauh di belakang dan boleh dikatakan paling unggul setakat ini dikuasakan CPU buatan sendiri, Exynos 7420 yang menyokong 64 bit dan teknologi big.Little iaitu quad core 2.1GHz dan quad core jimat tenaga 1.5GHz.

Apa yang membezakannya berbanding CPU lain sudah pasti pada proses 14nm yang lebih kecil menjadikannya kurang menggunakan tenaga selain tidak menghasilkan haba dan kepanasan ekstrem.

CPU baru ini dipadankan dengan LPDDR4 3GB yang lebih pantas daripada LPDDR3, namun masalah kecil apabila rekaan unibodi aluminium memaksa Samsung membuang slot kad memori, jadi ia bergantung kepada setoran 32GB saja.

Telefon pintar Samsung Galaxy kekal menggunakan sistem operasi keluaran Google tetapi sudah siap dengan versi terkini, Android 5.0 Lollipop yang dipadankan dengan antaramuka TouchWiz UI.

Skrin utama menggunakan TouchWiz membolehkan leretan jari ke mana-mana arah untuk mengaktifkan skrin manakala bagi skrin kunci, ia akan memaparkan waktu dan ramalan cuaca, dua butang pantas serta kamera.

Antaramuka TouchWIZ masih kelihatan sama seperti sebelum ini dengan menyokong lima aplikasi di bawah termasuk apps drawer di kanan.

Tidak lengkap sesebuah telefon pintar terbabit dengan fungsi kamera dan S6 edge tidak terkecuali. Kamera belakangnya merakam gambar beresolusi 16MP dengan kelengkapan Flash LED serta autoHDR.

Ia mempunyai apertur F/1.9 yang membantu mengesan lebih banyak cahaya menjadikan gambar lebih cerah.

Menariknya, kamera belakang ini boleh merakam video sehingga QuadHD (2560 x 1440) dan UltraHD (3840 x 2160).

Aplikasi kamera pada Galaxy S6 edge beroperasi pantas dan boleh dilancarkan dengan menekan butang fizikal Home dua kali.

Terdapat pelbagai tetapan yang boleh diubah mengikut kegemaran pengguna, malah kawalan manual kamera boleh diperoleh melalui mod Pro.

Ia menawarkan fungsi kawalan fokus, imbangan putih, ISO dan tahap pendedahan secara manual bagi si profesional.

Dengan pelbagai ciri baru pada Samsung Galaxy S6 edge, adakah berbaloi anda berbelanja sehingga RM3,099 untuk mendapatkannya?

INFO

SAMSUNG GALAXY S6 EDGE

- Pengeluar: Samsung

- Harga: RM3,099

- Laman Web: www.samsung.com.my

- Ciri: Telefon pintar dengan skrin lengkung

- Pro: Mesin berkuasa sehingga kini

- Kontra: Harga agak tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 1:27 PM