ABDUL Aziz (tengah) bersama wakil tujuh kelab penyokong buat laporan polis.
ABDUL Aziz (tengah) bersama wakil tujuh kelab penyokong buat laporan polis.
Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Kelab Penyokong yang ditubuhkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA fan Club) membuat laporan polis terhadap pemilik dua akaun Facebook yang dikatakan membuat fitnah terhadap PAFA, Presiden dan Setiausahanya.

Laporan itu dibuat Presiden PAFA Fan Club, Syamsul Baharin Putra Anmad Shebi bersama pemimpin enam kelab, Kelab Peminat Bolasepak Perak, Die Hard Fanz, Kelab Peminat Bidor, Kelab Peminat Bagan Datoh, Yeop FC dan Yeop4Ever.di Balai Polis Sungai Senam, tengah hari semalam.

Mereka memohon polis menyiasat pemilik dua akaun Facebook, Mizan Ipoh dan Penyokong Bolasepak Perak di FB kerana dikatakan membuat fitnah melampau berhubung isu penjualan tiket, janji kepada pemain, penyalahgunaan kuasa serta tuduhan terhadap Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharudin. Turut hadir Setiausaha PAFA Abdul Aziz Yeop Jamaluddin.

“Tindakan itu keterlaluan .Ini membabitkan maruah dan integriti seorang pemimpin negeri. Kami mahu mereka terbabit disiasat,” kata Syamsol .

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, segala tohmahan dalam kedua-dua akaun facebook itu tidak benar dan fitnah semata-mata, khususnya terhadap Presiden PAFA.

“Datuk Zainol Presiden PAFA, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Exco kerajaan negeri Perak,

“Oleh itu, tohmahan dan fitnah melampau seumpama ini sedikit sebanyak boleh mencemarkan imej beliau,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, semua tiket yang dijual di stadium sudah dikeluarkan FAM melalui syarikat dilantik.

Beliau memberitahu, jumlah tiket diumumkan ketika perlawanan memang tidak sama dengan jualan tiket sebenar kerana pekeliling FAM meminta setiap persatuan bolasepak mengumumkan jumlah penonton pada minit ke-75 perlawanan.

“Untuk makluman, semasa kita umum di minit ke-75, kebanyakan tiket masih dikira, kita tidak dapat pastikan berapa jumlah sebenar. Bagaimanapun, saya selaku Exco FAM mengambil keputusan supaya kita beri perbezaan 20 peratus kurang daripada andaian sebenar,” jelasnya.

Beliau memberi contoh perlawanan dengan Lions XII, diumumkan kehadiran penonton 12,000, tetapi tiket dijual 17,000 dan aksi dengan Kelantan, diumumkan 19,000 penonton dan tiket dijual 25,000.

Bagi mengatasi kekeliruan ini, katanya, beliau akan mencadangkan kepada FAM pada perjumpaan Setiausaha Kehormat pada Khamis supaya arahan pengumuman pada minit ke-75 itu dimansuhkan.

Pada masa sama, beliau mengakui tiket dijual ada tiga jenis termasuk tiket simpanan dan komplimentari, tetapi semuanya dalam pengetahuan FAM untuk tujuan pembayaran levi 10 peratus.

Mengenai dakwaan kononnya janji terhadap pemain tidak ditunaikan, Abdul Aziz menjelaskan perkara itu sebenarnya tidak berlaku dan PAFA sentiasa menjaga kebajikan pemain, tertakluk kepada syarat kontrak.

Beliau tidak menolak kemungkinan ‘orang dalam’ sendiri membocorkan rahsia kepada pihak luar, yang akhirnya membuat pelbagai tuduhan dan tohmahan.

“Isu kebocoron ini sebenarnya sudah lama berlaku, saya juga minta pada kakitangan PAFA, kalau tidak boleh bekerjasama, mereka boleh keluar,” tegasnya.

Abdul Aziz berkata, beliau akan berbincang dengan Zainol mengenai perkara ini, termasuk kemungkinan mengadakan siasatan dalaman bagi mempastikan tidak berlaku lagi kebocoran rahsia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:31 AM