Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menolak hasrat Datuk Zainol Fadzi Paharuddin untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden pada kongres persatuan itu pada 4 Oktober depan.

Keputusan menolak hasrat Zainol itu dibuat secara kolektif pada mesyuarat jawatankuasa itu, Jumaat lalu.

Setiausaha PAFA, Abd Aziz Yeop Jamaluddin (gambar) berkata, PAFA memerlukan kepemimpinan beliau agar dapat neneruskan kesinambungan program dan projek yang akan dilaksanakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai 2016.

Katanya selaku Naib Presiden badan induk akan memudahkan pelaksanaan program itu di Perak nanti berbanding jika orang lain menggantikan beliau.

Beliau menambah jawatankuasa itu berpendapat banyak yang telah dilakukan Zainol sepanjang tempoh enam tahun menerajui PAFA.

Mereka juga hairan kenapa presiden dipersalahkan berikutan kegagalan pasukan Liga Super Perak sedangkan ada orang yang dipertanggungjawabkan mengendali pasukan.

“Bukan presiden yang buat pemilihan dan percaturan pemain.

“Datuk Zainol langsung tidak campur tangan,” katanya yang mengakui Presiden PAFA itu kecewa dengan pelbagai tohmahan dan kritikan dilemparkan terhadapnya.

“Mereka orang luar dan tidak tahu apa-apa mengenai struktur pentadbiran dan perjalanan PAFA.

“Ahli gabungan selesa dengan kepemimpinannya. Itu yang penting bukannya pandangan individu diluar yang mungkin bertindak atas kepentingan tertentu.

“Jadi, biarlah ahli gabungan yang membuat penentuan,” kata Aziz mengulas hasrat Zainol itu.

Selain Jawatankuasa Eksekutif, Zainol turut menerima sokongan daripada Perak Fan Club (PFC) supaya terus menerajui PAFA.

Presiden PFC, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, Zainol sudah melakukan yang terbaik untuk PAFA tertutama mengeluarkan persatuan itu daripada belenggu kewangan akibat hutang hingga menyaksikan Perak hampir tidak dapat menyertai Liga M enam tahun lalu.

“Dari segi pembangunan saya rasa PAFA adalah antara persatuan negeri yang bergerak maju dengan mewujudkan akademi di setiap daerah serta melahirkan ramai pengadil bola sepak bertauliah

“Semua ini dikecapi semasa kepemimpinan Datuk Zainol. Jadi, apa masalahnya. Jika ada kekurangan tidak perlu tukar pemimpin sebaliknya hanya dimantapkan sahaja bahagian-bahagian yang masih lemah dan kurang,” katanya.

Syamsul berkata, PAFA akan kerugian besar kerana Zainol juga adalah Naib Presiden FAM.

“Bola sepak Perak beruntung banyak sejak beliau menjadi Naib Presiden FAM . Namun, jika beliau tidak lagi menerajui PAFA nanti entahlah apa akan terjadi,”katanya.

Sehubungan itu, Abd Aziz merayu Zainol supaya menimbang semula hasratnya untuk mengundur diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 7:36 AM