Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Bojan Hodak mengesahkan Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa serta Marcos Antonio tidak diturunkan menentang Balestier Khalsa FC pada saingan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Jalan Besaar, Singapura, malam ini.

Hodak berkata, ketiga-tiga pemain import itu tidak mengikut pasukan untuk mengharungi kempen Piala AFC dan senario itu tidak membimbangkan kerana pasukan diperkuat kelibat pemain tempatan.

Beliau juga menambah, Hariss Harun mungkin turut direhatkan selepas pemain itu sudah beraksi sejak saingan Liga Super bermula dan tidak mendapat rehat secukupnya.

“Luciano dan Jorge tidak disenaraikan manakala Marcos juga belum pasti diturunkan selepas mengalami kecederaan dan saya tidak mahu ambil risiko bagi mengelak kecederaan bertambah serius.

“Selepas penilaian dibuat dan statistik direkodkan, Jorge dan Luciano hanya beraksi 40 peratus perlawanan manakala Marcos beraksi 50 peratus perlawanan namun Hariss kerap diturunkan sejak saingan liga bermula.

“Saya akan membariskan pemain muda dalam kesebelasan utama dan Hariss mungkin berada di bangku simpanan dengan pemain lain sedia memberi saingan pada perlawanan itu,” katanya.

Hodak yang pernah beraksi untuk Balestier Khalsa FC pada 1997 mengenali rapat jurulatih pasukan itu, Marko Kraljevic dan arif taktik bakal diterapkan lawan.

“Pemain diingatkan fokus dan mengelak daripada mengalami kekalahan. Beraksi di padang rumput sintesik tidak digemari pemain Johor DT, namun kami perlu harungi dan cuba elak daripada melakukan kesilapan bagi memastikan pemburuan tiga mata tidak tersekat.

“Andai kemenangan mampu diraih, laluan ke pusingan seterusnya makin cerah dan kami tidak mahu mensia-siakan peluang ,” kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:16 AM