Kuala Lumpur: Ada sinar di hujung jalan, itulah rumusan boleh dibuat mengenai tawaran kontrak baru jurulatih badminton negara apabila Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen sudah berjumpa pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Apa yang disuarakan ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek sudah disampaikan Frost kepada pengurusan badan induk berkenaan.

“Saya sudah berbincang dengan pengurusan BAM. Saya memperoleh maklum balas positif berhubung permintaan kenaikkan gaji jurulatih,” katanya ketika ditemui selepas beliau bertemu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail di pejabat MSN, semalam.

Bagaimanapun, Frost yang dikenali dengan gelaran Mr Badminton mengaku masih mempunyai beberapa perkara perlu diteliti sebelum keputusan muktamad dibuat.

Ahmad Shapawi pula berkata, soal kontrak serta gaji jurulatih akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) antara BAM serta pihaknya dalam tempoh terdekat.

“Semua ini akan berlaku dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja. Tentang permintaan kenaikan gaji, itu kena bincang terlebih dulu dalam BAM sebelum dibawa ke JKK,” katanya.

Sementara itu, Rashid berkata, barisan kejurulatihan akan mengadakan pertemuan dengan Frost untuk membincangkan persiapan negara menjelang beberapa kejohanan besar seperti Piala Sudirman dan Sukan SEA Singapura.

Ujarnya, pertemuan itu akan membincangkan lebih terperinci mengenai persiapan dan memantapkan barisan pemain negara pada kejohanan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:08 AM