Kuala Lumpur: Tindakan ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek tidak menandatangani kontrak baru bagi menyambung perkhidmatan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mengejutkan badan induk berkenaan.

Pengurus besar BAM Kenny Goh berkata, beliau baru tahu mengenai perkara itu semalam selepas diberitahu Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen.

“Saya baru tahu selepas dimaklumkan Frost sebentar tadi (semalam). Beliau memberitahu saya ada dua jurulatih tidak mahu menyambung kontrak,” katanya.

Semalam, Rashid mengaku tidak menandatangani kontrak baru dengan BAM kerana menganggap permintaan badan induk itu agak keterlaluan walaupun gaji mereka akan dinaikkan.

“Boleh berikan saya sedikit masa untuk mengetahui perkara ini dengan lebih lanjut esok (hari ini). Ini kerana saya hendak tahu apa yang berlaku.

“Setakat ini, mereka yang dilanjutkan kontrak tiga bulan masih ada baki satu hari iaitu esok,” kata Kenny.

Hasrat mendapat maklum balas Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff tidak kesampaian apabila gagal dihubungi, manakala Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berada di luar negara.

Semalam, Frost mengaku ada jurulatih sudah menandatangani kontrak baru selama dua tahun, manakala beberapa lagi masih belum berbuat demikian.

Bagaimanapun Frost tidak mahu memberitahu nama seorang lagi jurulatih yang turut mengambil keputusan tidak menandatangani kontrak baru.

Timbul desas-desus jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak individu yang dimaksudkan itu, tapi beliau yang ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara enggan mengulas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:22 AM