Kuala Lumpur: Insurans hayat dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) membabitkan produk polisi seumur hidup, endowmen, anak, pendidikan dan anuiti.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dalam kenyataannya berkata, premium bagi rider bukan hayat seperti penyakit kritikal, perubatan dan kesihatan serta kemalangan diri akan tertakluk kepada GST.

LIAM berkata, rider bukan hayat didefinisikan sebagai rider yang tidak meliputi kematian semula jadi.

“Sekalipun premium bagi polisi berkaitan pelaburan tidak dikenakan GST, fi dan caj terhadap polisi-polisi ini seperti fi polisi akan tertakluk kepada GST.

“Bagi polisi yang dibayar menerusi fasiliti debit, syarikat insurans akan bekerja dengan bank untuk meningkatkan had yang dibenarkan untuk meliputi GST,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:18 AM