LOH Guat Lan.
LOH Guat Lan.
Oleh Hazwan Faisal Mohamad


KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) komited untuk memenuhi aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kadar penembusan insurans hayat di Malaysia daripada 54 peratus pada ketika ini kepada 75 peratus melalui menerusi pelbagai inisiatif utama dan pendidikan.

Presidennya, Loh Guat Lan berkata, pihaknya percaya perkara itu boleh dicapai melalui sokongan berterusan daripada kerajaan dalam usaha mengubah pemikiran rakyat terutama golongan B40 dan meningkatkan tahap kecelikan kewangan pengguna.

Katanya, usaha ini akan menjadi antara bidang utama yang mahu ditambah dalam usaha untuk meningkatkan kadar penembusan kepada 75 peratus.

“Program Pendidikan Pengguna yang sedang dijalankan akan terus menjadi antara strategi utama untuk meningkatkan tahap kecelikan kewangan rakyat Malaysia selain termasuk libat urus dengan media, program libat urus dengan belia di kolej dan universiti, menyertai Pameran Kerjaya Bank Negara Malaysia (BNM) dan banyak lagi.

“Pemahaman yang kukuh dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah mengenai bagaimana insurans boleh menangani keperluan kewangan mereka adalah penting untuk pertumbuhan pasaran insurans. Oleh itu, pendidikan insurans adalah kunci kepada kejayaan ini,” katanya pada majlis makan tengah hari Penghargaan Media LIAM di sini, semalam.

Guat Lan berkata, mengikut keperluan peraturan baru oleh BNM tahun ini, LIAM dan MTA telah memulakan kempen pendidikan pengguna mengenai produk berkaitan pelaburan (ILP) untuk mendidik pengguna mengenai dasar mereka dan menyediakan maklumat yang mencukupi untuk kemapanan dasar mereka.

“Bulan ini, kami akan menerbitkan artikel pendidikan untuk mendidik pengguna mengenai pemahaman Ilustrasi Jualan ILP baharu selepas awal Januari 2020.

“Pada suku pertama 2020, LIAM juga akan memulakan kempen pendidikan pengguna yang komprehensif dengan mengambil manfaat platform media sosial dan pemimpin pendapat utama,” katanya.

Mengulas prestasi industri insurans hayat pada suku ketiga tahun ini, beliau berkata, pertumbuhan dari segi perlindungan kepada rakyat Malaysia mencatat sejumlah RM391.78 bilion nilai jaminan baharu, meningkat 9.4 peratus berbanding RM358.05 bilion pada suku sama tahun lalu.

Katanya, prestasi menggalakkan dalam industri insurans hayat itu mencerminkan peningkatan kesedaran yang berterusan di kalangan rakyat Malaysia mengenai kepentingan mendapatkan perlindungan insurans.

“Secara keseluruhan, industri insurans merekodkan 969,680 polisi baharu pada suku dikaji, naik 7.6 peratus, manakala polisi berkumpulan meningkat 1.2 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 10:51 AM